SETIU - Kerja-kerja menaiktaraf skim pengairan Kampung Jelapang bernilai kira-kira RM9.1 juta akan siap November ini.

Timbalan Ketua Setiusaha Kementerian Pertanian dan Asas Tani (MOA), Badrul Hisham Mohd berkata, projek di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu merangkumi pelbagai aspek kerja.

Menurutnya, manfaat projek itu nanti akan memberi keselesaan kepada lebih kurang 200 orang petani.

"Projek itu termasuklah kerja-kerja menaiktaraf sistem pengairan, membaiki kerosakan struktur-struktur dalam skim pengairan jelapang, membina spillway dan membersih bendang dengan mengeluarkan kayu-kayu bersaiz besar.

"Kerja-kerja ini sedang berjalan sejak Disember 2016 lagi dan akan disiapkan pada 13 November tahun ini, di mana petani akan dapat menanam padi dengan keluasan 735 hektar secara keseluruhannya," katanya ketika lawatan ke tapak projek, di sini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) Putrajaya, Ir Ahmad Darus; Timbalan Pengarah JPS Negeri Terengganu, Osman  Abdullah; Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang; Adun Langkap, Datuk Sabri  Mohd Nor dan Jurutera JPS Daerah Setiu, Aisyah Abu Bakar.

Badrul berkata, lawatan itu bertujuan memantau perjalanan projek serta memastikan ia berjalan mengikut jadual.

Tambahnya, ia juga sebagai usaha mendengar sendiri pemasalahan yang berlaku di kawasan berkenaan yang memungkinkan penyelesaian dibuat dengan kadar segera.

Dalam masa sama, Badrul menyaran penyemakan semula 'PH tanah' untuk proses pengkapuran tanah supaya sesuai bagi penanaman padi dengan cepat.