SETIU - Kerajaan negeri melancarkan satu lagi projek di bawah Program Transformasi Ekonomi negeri melalui bioteknologi iaitu projek tanaman jagung bijirin.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek itu selaras dengan agenda negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada import jagung bijirin bagi makanan ternakan.

Menurutnya, Terengganu adalah negeri pertama yang mengusahakan industri penanaman jagung bijirin secara komersial dan berskala besar.

“Projek ini akan menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan ternakan terbesar di Malaysia. Ia juga dapat mengurangkan pengaliran keluar wang negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Industri Penanaman Jagung Bijirin Terengganu.

Tambah Ahmad Razif, projek itu melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM27 juta daripada Syarikat Green World Genetics Sdn Bhd.

Katanya, dalam masa sama kerajaan menyasarkan pengurangan jagung bijirin import dari luar negara sebanyak RM3.5 bilion dalam lima hingga 10 tahun akan datang.

“Saya yakin industri tanaman jagung bijirin akan jadi sumber pendapatan baru kepada penduduk di negeri ini.

Ladang jagung bijirin yang diusahakan di Ladang GWG Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan Rhu Tapai.

“Ini bagus kerana potensinya sangat besar dan mana-mana tanah terbiar khusus bekas sawah sangat sesuai ditanam dengan tanaman ini (jagung bijirin),” katanya.

Justeru, beliau berharap agensi terlibat khususnya jabatan pertanian, pejabat daerah, unit perancang ekonomi negeri dan juga ketua-ketua masyarakat dapat menggembleng tenaga serta berusaha untuk menjayakan projek itu pada skala yang lebih besar.

Selain itu, penduduk tempatan juga perlu diberi penerangan mengenai program tanaman jagung bijirin.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :