KEMAMAN - Projek Perintis Penanaman Jagung Bijian Kampung Dadong berjaya mencapai sasaran apabila setiap hektar mampu mengeluarkan hasil sebanyak enam tan metrik sekali gus membuktikan bahawa jagung bijian boleh dikomersialkan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, lebih membanggakan jumlah tuaian setiap hektar melepasi piawaian antarabangsa iaitu lima tan metrik per hektar.

“Lebih penting ia beri keyakinan kepada petani di negara ini untuk mengusahakannya.

“Dengan kejayaan ini kita memecahkan halangan psikologi kononnya Malaysia tidak boleh tanam jagung bijian,” katanya kepada pemberita selepas melakukan penuaian jagung buat kali kedua di Kampung Dadong, petang semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Mohd Nasir Warris.

Projek Perintis Penanaman Jagung Bijian Kampung Dadong yang diusahakan di atas tanah seluas 34 hektar itu secara keseluruhannya berjaya mengeluarkan hasil melebihi 200 tan metrik.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, dengan kejayaan itu juga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bercadang untuk menjadikan tanaman jagung bijian sebagai tanaman kedua terbesar di negara ini selepas padi.

Jelas beliau, model Projek Perintis Penanaman Jagung Bijian Kampung Dadong juga akan dijadikan satu dasar penting untuk mengembangkan industri makanan ternakan di Malaysia memandangkan jagung bijian sebelum ini terpaksa diimport dari luar.

“Kalau kita tidak laksanakan kita akan terus bergantung pada jagung bijian yang diimport,” katanya.

Ketika ini walaupun Tahap Sara Diri Malaysia (SSL) daging ayam adalah 100 peratus tetapi Malaysia mengimport 100 peratus makanan untuk ternakan terutama jagung bijian dengan nilai RM3.1 bilion setahun atau hampir 4 juta tan setahun.

Ahmad Shabery berkata, rentetan kejayaan projek rintis di Kampung Dadong itu, projek itu akan diperluaskan ke seluruh Malaysia meliputi kawasan seluas 748 hektar.

Menurutnya, lokasi berpotensi untuk memperluaskan projek itu merangkumi negeri Johor seluas 10 hektar, Melaka (10 hektar), Pahang (69 hektar), Perak (35 hektar), Kedah, Terengganu (293 hektar) Perlis (50), Sabah (72 hektar) dan Sarawak (20 hektar).

Katanya, peruntukan sebanyak RM10 juta telah diagihkan bagi perluasan projek rintis itu iaitu bagi tujuan pembangunan tanaman jagung bijian (RM5 juta), mekanisasi dan automasi (RM2 juta), pengawalan kualiti jagung bijian (RM2.5 juta) dan penyelidikan serta pembangunan varieti jagung bijian (RM0.5 juta).

Projek itu akan dilaksanakan dengan pendekatan beberapa model yang telah dan sedang dikenal pasti iaitu usaha sama antara syarikat, syarikat dengan usahawan, usahawan dengan petani serta syarikat swasta sepenuhnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.