KUALA TERENGGANU – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu telah pun selesai menyiasat kes sebuah kedai makan di Kemaman mengenakan harga RM32 bagi sepinggan nasi seorang pelanggannya, bulan lalu.

Pengarah PPDNKK Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, hasil siasatan yang telah lengkap itu diserahkan kepada pihak pendakwaraya minggu lepas untuk disemak sebelum tindakan seterusnya diambil terhadap peniaga berkenaan.

“Sekarang kita tunggu keputusan dari pihak pendakwaraya sama ada peniaga itu didakwa atau dikenakan kompaun,” katanya kepada media selepas mengadakan operasi bersama media di Pasar Besar Kedai Payang, di sini pagi tadi.

Kedai makan itu menjadi tular bulan lepas selepas seorang lelaki memuat naik status di laman sosial Facebook tentang dirinya dicaj RM32 bagi sepinggan nasi berlaukkan seekor udang galah, dua potong sotong dan sayur kangkung.

Lelaki terbabit terkejut dikenakan harga sedemikian kerana kedai makan tersebut hanya kedai biasa, bukan bertaraf restoran eksklusif.

Ia kemudiannya mendapat reaksi netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan pemilik kedai terbabit yang didakwa mengambil untung berlipat kali ganda.

Susulan laporan tersebut, penguatkuasa PPDNKK cawangan Kemaman melakukan pemeriksaan di kedai itu dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana  mengenakan caj harga tidak munasabah.

Selain notis pihaknya turut menyita tiga jenis lauk iaitu 13 ketul ikan siakap, 10 biji telur rebus dan 52 ketul hati pedal kerana pemilik kedai gagal mempamerkan tanda harga.

Sementara itu, Azlan memaklumkan pihaknya menerima aduan dari pengguna tentang seorang peniaga bazaar Ramadan di Kemaman yang menjual nasi beriani daging berharga RM13 gagal mempamerkan tanda harga.

Sehubungan itu, PPDNKK telah melakukan pemeriksaan dan mengenakan kompaun sebanyak RM300 terhadap peniaga berkenaan.

“Setakat ini kita hanya terima satu kes itu sahaja melibatkan peniaga di bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANDAR SERI JEMPOL - Polis menerima satu laporan polis berhubung tindakan seorang individu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di laman sosial.
  • PETALING JAYA - Seorang pelanggan naik berang apabila dia diperiksa dalam Ops Noda yang dijalankan sepasukan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, di sekitar Petaling Jaya, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.