KUALA TERENGGANU – Penganjuran perlumbaan berbasikal dalam bangunan yang diperkenalkan buat julung kalinya oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menerusi  PMINT Ride Challenge 2017 bakal dijadikan sebagai acara tahunan dalam usaha merealisasikan hasrat Terengganu untuk muncul sebagai The Land of Cyclist.

Keputusan itu diumumkan setelah melihat sambutan yang amat membanggakan apabila lebih 200 peserta tampil menyahut cabaran dalam enam kategori yang dipertandingkan bermula semalam iaitu Terengganu Closed Amatur (30 - 39 tahun), Heavyweight (90 kilogram ke atas), Junior Open (18 tahun ke bawah), Master Open (36 tahun ke atas) membabitkan perlumbaan jarak sejauh enam kilometer menerusi tiga pusingan.

Bagi Terengganu Close Amatur yang disertai peserta berusia 40 tahun ke atas pula membabitkan jarak sejauh 10  kilometer menerusi 10 pusingan.

Selain acara utama itu, perlumbaan berkonsepkan ‘Fun Ride’ turut diadakan dengan melibatkan kayuhan sejauh 32 kilometer yang bermula dan berakhir di PB Square melalui jalan utama dan kawasan pelancongan menarik di sekitar bandaraya Kuala Terengganu antaranya Pulau Duyong, Pulai Sekati, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan Muzium Negeri.

Majlis pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Mohd. Zubir Embong sambil diiringi Timbalan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PMINT, Wan Adnan Wan Derahman.

Difahamkan, PMINT Ride Challange bakal meluaskan penyertaan pada tahun depan dengan menjemput peserta antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelumba luar dan dalam negara.

Negara.

Terengganu menjadi negeri pertama yang menganjurkan perlumbaan basikal lasak dalam bangunan di Malaysia selepas Singapura.

Pada kejohanan itu, PMINTRide Challenge turut menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM 10,000 kepada pemenang tempat pertama sehingga kelima dalam setiap kategori yang dipertandingkan.  

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.