KUALA TERENGGANU – Penduduk yang tinggal di kawasan yang berisiko banjir diminta berpindah awal sebelum air naik ke paras kritikal.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan dan melancarkan urusan berpindah ke pusat pemindahan banjir yang disediakan.

“Kita harap pihak-pihak berkenaan terutama masyarakat kampung dan komuniti yang tinggal berhampiran kawasan banjir dapat keluar berpindah lebih awal sebelum air naik ke paras yang lebih kritikal.

“Pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersama agensi kerajaan dan pejabat daerah juga perlu memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing,” katanya.

Mengulas lanjut, Che Adam berkata, konsep berpindah awal dipraktikkan sebelum ini dan pihak MPKK di seluruh negeri ia juga diberi taklimat mengenai langkah yang perlu diambil ketika berdepan risiko banjir itu.

“Sebaik sahaja dapat maklumat mengenai trend kenaikan paras air sungai berdekatan, tak perlu tunggu sehingga air sungai melimpah masuk ke dalam rumah. Sebaiknya segera berpindah dan pihak MPKK juga perlu membantu dalam mempercepatkan proses pemindahan,” katanya.

Laporan cuaca mingguan Terengganu oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini menunjukkan amaran cuaca buruk dan hujan peringkat kuning dan keadaan itu dijangka berterusan melanda negeri ini hingga esok.

Pada sebelah petang pula, hujan dijangka berterusan hingga ke malam sepanjang tempoh ramalan.