MARANG - Hobi memikat burung tekukur boleh dijadikan sebagai satu produk pelancongan di negeri ini kerana keseniannya mampu menarik minat pelancong luar untuk menerokai seni warisan Melayu itu.

Penyelaras Program Gabungan Pemikat Terkukur Seluruh Terengganu, Syaifunizam Abdul Rashid berkata, aktiviti memikat burung tekukur juga bukan hanya diminati golongan berusia malah menjadi kegemaran anak muda.

"Sebab itu kami telah mewujudkan kumpulan WhatsApp termasuk menganjurkan pertandingan untuk mencari jaguh pemikat dari seluruh daerah malah turut menganjurkan pertandingan di luar negeri ini.

"Usaha ini dibuat agar aktiviti unik ini dapat terus dipromosikan seterusnya dijadikan sebagai satu produk kesenian dan kebudayaan dalam kalender pelancongan negeri Terengganu," katanya di sini, hari ini.

Aktiviti memikat burung tekukur kini turut menjadi kegemaran anak muda.

Sebelum ini, katanya, penganjuran pertandingan memikat burung telah diadakan di luar negeri ini, pada Sabtu lalu iaitu Trip Memikat Terkukur Jempol di Negeri Sembilan anjuran pihaknya disertai 55 peserta.

"Trip memikat terkukur itu dimenangi Azan Ismail dan naib juara dimenangi Mohd Jamal Affandi manakala di tempat ketiga dimenangi Zainal Beran serta keempat dimenangi Khairi Anuar Mohd," katanya.

Guru Sekolah Kebangsaan Seberang Marang itu berkata, memikat tekukur adalah unik termasuk keseniannya terserlah pada setiap jebak tempat denak disimpan yang diperbuat daripada kayu berkualiti.

"Tempat denak disimpan juga turut dipenuhi dengan pelbagai ukiran seni kerja tangan," katanya yang melibatkan diri dalam aktiviti itu sebagai salah satu hobinya ketika waktu lapang.

Sementara itu, seorang pemikat burung tekukur yang ditemui, Mohamad Jusoh, 46, berkata, hobi itu juga hanya memerlukan modal yang kecil namun boleh bertukar menjadi sumber pendapatan lumayan.