DUNGUN - Satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Amanah Terengganu, Zulkifli Ali di IPD Dungun menggesa supaya tindakan diambil terhadap pihak yang memburukkan PH berkaitan isu sebatan pasangan lesbian.

Bagaimanapun, tindakan itu sekali lagi mendatangkan fitnah apabila seorang individu memuat naik status dilaman sosial mendakwa laporan polis dibuat bagi membantah hukuman sebat tersebut.

Zulkifli berkata, laporan polis dibuat kerana sebaran surat palsu yang memburukkan PH sebaliknya ia disalah erti.

Menurutnya, tanpa usul periksa, inividu berkenaan memuat naik status bergambar berbaur fitnah yang menjejaskan imej Amanah dan PH.

"Laporan polis dibuat kira-kira jam 10.00 pagi semalam.

"Tujuannya untuk menggesa pihak berkuasa  menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menyebarkan surat fitnah.

"Di dalam surat berkenaan menyatakan PH membantah hukuman sebat yang dikenakan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, baru-baru ini.

"Sedangkan PH berpendirian sebaliknya dan menyokong usaha yang dilakukan mengikut tuntutan Islam," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuatnaik status berbaur fitnah tersebut boleh menjatuhkan reputasi PH dan sengaja menimbulkan kekecohan.

"Sebaik sahaja laporan dibuat, individu tersebut terus memuat naik status berbaur fitnah di laman sosial Facebook.

"Kami berharap politik fitnah dan kebencian ini segera dihentikan demi kepentingan semua pihak," katanya.

Berikutan itu, beberapa lagi laporan polis dibuat di beberapa daerah hari ini termasuk di Dungun terhadap individu yang sengaja menyebarkan fitnah dan berterusan berusaha menjatuhkan PH.