KUALA LUMPUR - Syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak berpangkalan di Arab Saudi, PetroSaudi International (PSI) hari ini menolak kritikan dalam talian yang tidak tepat mengenai syarikat pembangunan strategik Malaysia yang pernah menjalin usaha sama dengannya, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Sebarang kenyataan mengenai salah laku dalam dakwaan dalam talian mengenai perkongsian adalah palsu semata-mata. Semua modal yang dilaburkan oleh 1MDB telah dikembalikan - dengan keuntungan," kata seorang jurucakap PetroSaudi yang tidak dinamakan telah dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan yang  dikeluarkan di sini hari ini.

Malah, katanya, usaha sama itu, yang berakhir pada 2012, mendapat manfaat bersama bagi Malaysia dan PetroSaudi, dan maklumat berhubung usaha sama itu   boleh didapati secara umum di dalam akaun 1MDB yang diaudit di Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

"Serangan tidak adil atau palsu mengenai pelabur dan rakan kongsi dari Malaysia hanya untuk merosakkan negara," kata kenyataan itu.

Ia berkata PetroSaudi komited untuk menyampaikan projek yang berjaya dalam sektor petroleum di peringkat global, bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi ke tahap standard antarabangsa tadbir urus korporat dan usaha yang wajar.

"Kami tidak akan terhalang dengan cerita-cerita yang tidak tepat atau berniat jahat yang disebar dalam talian.

"Beberapa laporan ini dilihat berdasarkan petikan berpilih dan dokumen serta emel dalaman syarikat yang diputarbelitkan, salinan asalnya yang kami percaya telah didapati secara tidak sah dan dalam beberapa kes telah diubah. 

"Kami kini mempertimbang dari segi undang-undang," katanya.

PSI, syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak global yang beroperasi di Latin Amerika, Asia dan Afrika, beribu pejabat di Al-Khobar, Arab Saudi dengan pejabat-pejabat di London, Geneva, Houston, Jakarta, Carupano dan Caracas. - Bernama