KUALA TERENGGANU - Ibarat pesta! Itulah gambaran suasana di Sungai Terengganu di Kampung Beladau Kepong, di sini, yang dipenuhi orang ramai untuk memancing udang galah.

Keadaan bermusim itu menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang merasai pengalaman memancing udang berkenaan terutama selepas banjir surut.

Kaki pancing, Wan Munir Ruzaimi Wan Mohamad, 32, berkata, dia memang minat memancing udang galah sejak kecil lagi dan menjadikan hobinya itu sebagai pendapatan sampingan apabila mempunyai masa lapang.

Menurutnya, sejak orang ramai mula memenuhi sungai di kampungnya itu bermula tahun lepas, dia pernah memperoleh sehingga lebih dua kilogram udang galah.

“Biasanya saya keluar selepas Asar dan pulang ke jeti sebelum waktu Isyak bersama rakan yang juga berkongsi hobi sama.

“Udang ini dijual pada harga RM60 hingga RM80 sekilogram mengikut saiz kepada pelanggan dan kadang-kadang saya jadikan lauk-pauk untuk keluarga,” katanya ketika ditemui sedang asyik memancing udang galah di sungai berkenaan, di sini.

Wan Munir atau lebih dikenali sebagai Angah berkata, dia menggunakan bot sendiri untuk memudahkan dia dan rakan lain keluar memancing udang galah terutama pada hujung minggu.

Sekiranya ada pelanggan yang mahukan udang galah dan dia ada masa luang biarpun bukan pada hujung minggu, Angah akan keluar ke sungai juga untuk memenuhi permintaan itu.

Katanya, walaupun harga udang itu mahal tetapi mendapat sambutan dan ramai yang ingin membeli termasuk kedai makan untuk dijadikan menu mereka.

Ditanya mengenai umpan yang digunakan, Angah berkata, dia menggunakan umpan anak udang dan sering menjadikan lubuk berpasir sebagai tempat dia memancing supaya mendapat lebih banyak udang galah.

“Udang ini lebih suka tempat teluk berpasir terutama selepas banjir surut seperti musim sekarang ini, sebab itu ramai yang datang memancing di sini,” katanya.

Manakala bagi Dzulkifli Soyuti  yang juga Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi HRSB Paka pula, pengalaman pertama memancing udang galah di sungai berkenaan sangat memberi kepuasan kerana mereka seramai sembilan orang menggunakan

rumah bot yang disediakan di sungai berkenaan walaupun tidak mempunyai bot fiber sendiri.

“Ramai orang memancing udang galah di sini menggunakan bot fiber. Disebabkan kami mahu merasai pengalaman ini juga, kami menyewa rumah bot yang disediakan.

“Memang teruja dan seronok sebab kami dibawa ke tempat lubuk udang galah oleh penjaga rumah bot, malah kami dapat pergi kawasan lebih jauh daripada pemancing lain,” ceritanya.

Dzulkifli berkata, dia dan rakan-rakan lain memang gemar aktiviti luar seperti memancing dan semalam adalah pertama kali merasai pengalaman memancing udang galah di atas rumah bot.

Menurutnya, sebelum ini, mereka sering menggunakan rumah bot di Tasik Kenyir untuk memancing ikan tetapi kali ini berlainan sedikit kerana dapat memancing udang di Sungai Terengganu.

Katanya, mereka tidak menjual udang yang diperoleh kerana tujuan mereka ke situ adalah untuk beriadah bersama rakan-rakan sekerja.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Beladau Kepong, Hashim Abdullah berkata, keadaan itu mula berlaku sejak tahun lepas dan berlarutan sehingga ke tahun ini.

Menurutnya, situasi orang ramai yang membanjiri sungai itu menjadikan kawasan Dataran Pangkalan Penambang, Kampung Beladau Kepong menjadi lebih meriah.

"Sungai ini memang 'kaya' dengan udang galah, apabila tiba musimnya seperti selepas banjir surut, ramai yang datang ke sini (Sungai Terengganu).

"Secara tidak langsung kawasan ini dikenali bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat malah dari lain-lain daerah dan negeri," katanya.

Melihat kepada sambutan itu, Hashim turut bercadang mewujudkan satu pertandingan memancing udang galah di sungai berkenaan dengan bantuan kerajaan negeri apatah lagi tahun ini merupakan Tahun Melawat Terengganu atau Visit Beautiful Terengganu 2017.

Hashim yakin, minat dan sambutan orang ramai terhadap aktiviti itu akan mendapat perhatian dan menjadi lebih meriah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Pengendali konsesi Lebuhraya Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) bersedia menghadapi bencana banjir di lebuh raya bawah seliaannya pada musim perayaan ini termasuk membentuk Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT).
  • KAMPAR - Seramai 136 penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Gabes di sini, sudah dua hari terpaksa meredah air apabila jalan kampung runtuh.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.