KUALA NERUS - Bijak mengambil gasing dengan menggunakan kayu khas dan dalam masa yang sama memastikan ia berpusing dalam tempoh lama antara kemahiran yang diperlukan bagi permainan gasing pangkah.

Kemahiran yang bukan calang-calang itu turut membuatkan pakar bermain gasing cukup dihormati dalam kalangan penggiat permainan tradisional itu.

Namun, bagi permainan yang dilakukan secara berkumpulan antara 15 hingga 25 orang itu, semangat berpasukan tinggi merupakan asas terpenting  yang perlu diberi keutamaan.

Setiap pasukan itu dibahagi kepada beberapa bahagian antaranya melempar, mengambil gasing sedang berpusing dan memastikan ia berpusing lebih lama di tempat dikhaskan.

Justeru, tidak hairanlah permainan gasing pangkah yang cukup sinonim bagi penduduk di daerah Kuala Nerus itu menjadi antara aktiviti pilihan bagi sukan rakyat.

Bagaimanapun, seperti mana 'hayat' sukan tradisional lain, aktiviti itu semakin dilupakan berikutan tidak ramai generasi muda yang berminat untuk mewarisinya.

Realitinya, ketika ini hanya terdapat 12 pasukan yang masih aktif melibatkan beberapa kampung di Dun Tepuh dan Batu Rakit.

Ketua Pasukan Gasing Pangkah Pecah Rotan, Batu Rakit, Muhammad Taib berkata, selain faktor kurangnya penglibatan golongan muda,  masalah tukang membuat gasing yang semakin pupus turut menjadikan permainan tradisional itu semakin dihambat kepupusan.

"Rata-rata pemain gasing yang ada ketika ini terdiri daripada ahli yang telah berusia.

"Bukan tidak ada ahli pasukan yang muda, namun jumlahnya tidak ramai bagi memastikan permainan tradisional ini dipertahankan.

"Meskipun ada ahli pasukan yang muda, namun rata-rata mereka tidak mahir atau tidak tahu dalam membuat gasing,"katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, kehebatan sesebuah pasukan bukan sahaja ditentukan dengan kebolehan menangkap gasing dan memastikan ia berpusing dalam tempoh lama, tetapi juga setiap pasukan memerlukan sekurang-kurangnya seorang tukang membuat gasing.

"Ketika ini hanya terdapat antara tiga hingga empat orang sahaja tukang membuat gasing yang mahir,"katanya.

Pertandingan jadi tali hayat

Dalam pada itu, Muhammad turut memberitahu bahawa penggiat sukan tradisional tersebut mengambil inisiatif dengan mengadakan pertandingan bagi memastikan gasing pangkah terus bertahan.

"Biasanya kami akan mengadakan pertandingan dengan kampung-kampung yang mempunyai pasukan gasing ini.

"Selain memastikan permainan ini terus bertahan, kita juga berharap agar dengan adanya pendedahan sebegini mampu menarik minat generasi muda.

"Ini kerana, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan permainan yang menjadi identiti masyarakat Kuala Nerus ini kekal bertahan," katanya.

Katanya lagi, pertandingan biasanya diadakan di gelanggang yang terletak bersebelahan Dewan Serbaguna Tepuh.

Namun katanya, selepas kepimpinan Terengganu bertukar selepas PRU14 lalu, latihan serta pertandingan yang diadakan di gelanggang itu dihentikan buat masa ini.

"Kita berharap agar kepimpinan sekarang menghidupan kembali pertandingan gasing pangkah ini agar ia terus memberi pendedahan kepada generasi muda.

"Kita tidak mahu permainan yang mengikat semangat perpaduan dan hubungan mesra antara masyarakat ini hilang ditelan zaman,"katanya.