DUNGUN - Persatuan Usahawan Perkhidmatan Produk Beroda Terengganu (Peroda) mengambil inisiatif menurunkan harga perkhidmatan katering yang disediakan supaya dapat membantu lebih ramai orang.

Perkhidmatan Peroda antara yang mendapat kepercayaan tinggi dari masyarakat dan agensi kerajaan sebelum ini untuk menyediakan makanan bagi menjayakan sesuatu majlis atau acara.

Bagaimanapun, perkhidmatan mereka kurang mendapat perhatian dan sambutan selepas PRU 14.

Perubahan tampuk pemerintahan mungkin menjadi salah satu faktor dan Peroda menyeru lebih ramai belia dari kerajaan negeri serta persekutuan memberi sokongan terhadap usaha murni yang sedang dilaksanakan.

Ahli Jawatankuasa Pemasaran Usahawan Peroda, Yusufhadi Alhafidz berkata, Peroda turut berperanan membantu usahawan muda, siswazah dan Orang Kurang Upaya (OKU) untuk memajukan perniagaan menerusi "Foodtruck".

"Kita berusaha membantu usahawan yang masih tercari-cari hala-tuju dalam perniagaan alaf baharu ini.

"Memang tidak dinafikan permintaan untuk  perkhidmatan kami agak kurang selepas PRU 14.

"Sebelum ini kami mendapat sokongan dari agensi kerajaan tetapi sekarang sudah berbeza apabila kerajaan berubah," katanya.

Katanya, walaupun harga makanan diturunkan tetapi kualitinya tetap dijaga.

"Kita turunkan harga perkhidmatan untuk membantu golongan yang kurang mampu untuk melaksanakan sesuatu majlis keramaian.

"Catering Foodtruck juga semakin digemari tetapi kita memerlukan sokongan semua pihak untuk terus melonjakkannya.

"Diharapkan khidmat kami terus diberi perhatian kerana dan mendapat sokongan dari kerajaan serta syarikat swasta," katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut tentang Peroda boleh hubungi talian 0135087828 atau layari facebook terengganu foodtruck club.