KUALA TERENGGANU – Permohonan Bantuan Perayaan Aidilfitri 2018 secara dalam talian akan dibuka kepada semua individu yang layak selama lapan hari bermula 24 Mei sehingga 31 Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata, permohonan masih menerusi kaedah lama iaitu secara atas talian menerusi laman web www.danattb.terengganu.gov.my.

“Mana-mana individu yang telah membuat permohonan melalui kerajaan sebelum ini boleh diguna pakai dan tidak perlu membuat permohonan baharu.

“Bagi yang tidak mahir mengendalikan komputer boleh ke Pusat Bestari.com berdekatan di kawasan masing-masing untuk dibantu atau ke Pusat Khidmat Pejabat Adun di kesemua 32 Dun di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, laman web itu juga boleh digunakan sekiranya pemohon ingin mengemas kini maklumat.

Malahan, katanya, permohonan baharu ini tidak memerlukan tandatangan atau pengesahan sesiapa serta boleh terus didaftar secara online.

Mengulas mengenai kelayakan, katanya, syarat yang sama masih dikekalkan iaitu pemohon yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan serta rakyat Terengganu dan perlu mendaftar sebagai pengundi.

“Mereka yang berstatus bujang berusia melebihi 40 tahun dan berpendapatan bawah RM1,500 juga layak memohon.

“Kali ini, beza bagi permohonan baharu, mereka tidak perlu mendapatkan perakuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.

Dalam pada itu, katanya, agihan bantuan akan diberikan selepas kira seminggu daripada tarikh tutup permohonan.

“Agihan duit dana ini dijangka dibuat seminggu sebelum menjelang Aidifitri,”katanya.