KUALA TERENGGANU - Kerja-kerja membaiki kediaman yang rosak akibat ribut Isnin lalu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (Imits) Dun Wakaf Mempelam, Razali Abd Ghani berkata, proses itu memerlukan masa berikutan kekurangan tukang dan bahan binaan.

"Bahan binaan seperti atap genting dan kayu mendapat permintaan tinggi sehingga kami terpaksa ke kawasan lain untuk mendapatkannya.

Mangsa ribut menggunakan kanvas sebelum mendapat atap baharu.

"Kita bersama jabatan daerah serta beberapa agensi lain akan membantu mangsa mendapatkan atap ganti dan membayar upah tukang rumah,"katanya.

Menurutnya, kesemua rumah yang terjejas akan dibaiki namun, keutamaan akan diberikan terhadap kediaman yang rosak teruk.

"Bagi rumah yang hanya terjejas pada bahagian bumbung, proses baiki boleh siap dalam sehari.  Manakala, rumah yang rosak teruk seperti bahagian bumbung tercabut semua termasuk palang kayu, perlu sedikit masa untuk dibaiki.

"Kebanyakan mangsa ribut menggunakan atap sementara seperti kanvas sebelum diganti baharu," katanya.

Razali berkata, sehingga jam 9.15 pagi hari ini, sebanyak 634 kediaman dikenal pasti rosak dalam kejadian ribut yang berlaku petang kelmarin.