KUALA TERENGGANU – Penduduk yang tinggal di kawasan rendah diminta berwaspada terhadap segala kemungkinan berikutan banjir kembali melanda di beberapa daerah di negeri ini.

Pengarah Khidmat Malaysia Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sebelum ini beberapa kawasan seperti Hulu Terengganu, Hulu Dungun, Hulu Besut, Marang, Setiu dan Kemaman merupakan beberapa lokasi dilanda banjir.

“Melihat keadaan cuaca yang tidak menentu, penduduk yang tinggal di kawasan rendah yang berisiko dinaiki air dinasihatkan untuk terus berwaspada terhadap gelombang banjir seterusnya,” katanya.

Azman yang juga Ketua Kebajikan Pas Terengganu menjelaskan pihaknya turut membuka Bilik Gerakan Banjir Khidmat Malaysia Hulu Terengganu yang telah diaktifkan sejak 31 Disember lalu.

Jelasnya, bilik gerakan tersebut bertujuan untuk menyelaraskan operasi pemindahan serta membantu mangsa banjir.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan ibu bapa mengambil berat soal keselamatan anak-anak sepanjang waktu bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua pihak berhati-hati dan meningkatkan kesedaran terhadap penyakit bawaan air terutama selepas hujan reda dan banjir surut.

Menurutnya, pelbagai penyakit bawaan air yang berisiko sekiranya mana-mana pihak memandang ringan terhadap kebersihan dan kesihatan.

“Kebersihan makanan dan minuman perlu dititikberatkan dan pastikan minum air yang telah dimasak. Selain bersabar dengan kerosakan harta benda, masalah kesihatan juga jangan dipandang ringan.”

“Banjir adalah punca utama pelbagai penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun, Hepatitis A dan leptospirosis kerana mangsa terdedah dengan air yang tercemar. Jangan pandang ringan dengan penyakit-penyakit tersebut yang mempunyai simptom biasa seperti cirit-birit dan demam kerana jika lambat dirawat, ia boleh membawa maut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
  • MIRI - Seramai 223 murid dari tiga sekolah rendah di Sarawak tidak dapat meneruskan sesi persekolahan pada pagi ini setelah banjir melanda berikutan hujan lebat sejak semalam.
  • JOHOR BAHRU - Angka mangsa banjir yang masih berada di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) negeri ini menurun sedikit pada pagi ini iaitu daripada 1,361 orang pada malam tadi kepada 1,360.
  • JOHOR BAHRU - Sebanyak 13 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di negeri ini, bagi menempatkan 373 keluarga dengan 1,365 mangsa banjir setakat jam 5 petang semalam.