KUALA TERENGGANU - Rakyat perlu memberi sokongan padu kepada BN dan kerajaan sedia ada berikutan pembangkang tidak mampu memberikan kata putus untuk memastikan hala tuju lebih baik kepada rakyat dan negara.

Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pembangkang sehingga kini tidak mampu memberi keputusan berhubung mana-mana calon yang layak menerajui tampuk pentadbiran kerajaan.

Lebih mengelirukan menurutnya, pembangkang kerap mengambil ‘pusingan U’ dalam membuat keputusan, berbeza dengan kerajaan yang membuktikan mereka mencapai persefahaman antara parti-parti komponen sejak sekian lama.

“Ini boleh menjelaskan kepada rakyat bahawa pembangkang pun sekarang kita nampak tidak ada persefahaman. Masing-masing sekarang ini tidak boleh menjelaskan hendak calonkan siapa perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

“Kalau macam itu pun tidak boleh selesai, macam mana hendak memimpin, memerintah negara kita.

“Jadi saya berharap rakyat Malaysia hari ini boleh melihat sendiri dan mempunyai keyakinan kepada kerajaan sedia ada kerana kerajaan BN mempunyai satu komitmen dan kesefahaman yang begitu kuat,” katanya kepada pemberita dalam program perjumpaan dengan masyarakat Cina Kuala Nerus sempena Tahun Baharu Cina di Duyung Marina&Resort, di sini.

Ahmad Razif yang merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, pihaknya enggan mengambil pusing terhadap isu-isu yang berlaku dalam pembangkang dan tidak mahu terikut-ikut sikap lawan yang terlalu berpolitik.

Pihaknya menegaskan tidak memandang ringan perkara dicetuskan pembangkang untuk memastikan BN sentiasa bersiap sedia berhadapan cabaran politik daripada pihak terlibat.

Beliau menyedari bahawa strategi pembangkang ketika ini adalah mengganggu pentadbiran dan menggagalkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

“Kita tiada masalah dan insya ALLAH kita sentiasa bersiap sedia untuk menghadapinya, biarlah pembangkang dengan cerita Mat Jenin atau biarlah seperti Si Luncai dengan labu-labunya.

“Kita tidak akan pandang mudah kerana sebagai kerajaan kita akan memastikan bahawa yang paling besar adalah keyakinan rakyat dan kita dapat memberikan bukti kepada rakyat bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut melihat kebangkitan sokongan golongan muda terhadap BN begitu memberangsangkan melalui beberapa program yang digerakkan untuk memastikan mereka memberi sokongan padu kepada kerajaan termasuk program Transformasi Perdana 2050 (TN50).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Desakan sesetengah pihak berhubung calon perdana menteri Pakatan Harapan sering diperdebatkan, sehingga mengheret semula mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon, namun siapa pula calon ketua pembangkang BN?
  • KUCHING - BN Sarawak sudah menerima senarai beberapa calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Pujut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.