MARANG - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Mengkuang di sini, memerlukan sumbangan dana bagi menaik taraf surau sekolah berkenaan.

Surau berkenaan mampu untuk memuatkan lebih 400 jemaah dalam satu masa apabila selesai dinaik taraf sekali gus dapat dijadikan pusat program keagamaan di sekolah itu di masa depan.

Pengerusi PIBGnya, Mohd Atan Abidin berkata, dana berkenaan dilancarkan sejak lima bulan lalu dengan jumlah terkumpul sebanyak RM68,000, iaitu sudah 60 peratus dari jumlah diperlukan.

"Pada awalnya kita hanya mahu membaiki kerosakan surau pada bahagian tertentu sahaja tetapi seorang guru yang mahu bersara menderma sebanyak RM30,000, jadi jumlah wang itu agak banyak.

"Kami kemudiannya mengambil keputusan menaik taraf surau tambahan guru-guru lain dan ibu bapa murid turut menderma serta menerima bantuan kewangan daripada jabatan pendidikan negeri.

"Surau sedia ada juga kurang selesa dan menyukarkan murid dan pihak sekolah untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang berskala besar," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Mohd Atan berkata, pihaknya sedang berusaha mengumpulkan dana secepat mungkin agar pembinaan surau itu dapat disegerakan dan pihak luar juga boleh menderma melalui PIBG sekolah.

"Bilangan murid sudah mencecah 900 orang dan jumlah itu bakal meningkat untuk tahun depan. Kita perlukan surau yang lebih besar untuk menampung jumlah murid pada setiap tahun," katanya.

Dalam pada itu, pihak sekolah juga tidak ketinggalan mengambil inisiatif mengutip dana melalui program yang dianjurkan termasuk penjualan barang terpakai sempena Hari Kokurikulum Bersama Komuniti, hari ini.