KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, secara puratanya menerima seramai 1,400 pesakit setiap hari melibatkan pesakit yang ingin mengambil ubat dan hadir untuk temu janji bagi pemeriksaan kesihatan bersama doktor.

Kehadiran pesakit ke hospital dalam jumlah yang tinggi pada satu-satu masa yang bermula dengan proses pendaftaran dan diakhiri dengan proses mengambil ubat sedikit sebanyak menyumbang kepada kesesakan di kaunter farmasi hospital.

Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus berkata, keadaan itu menyebabkan ramai yang terpaksa beratur panjang bagi menunggu giliran mengambil ubat.

Menurutnya, bagi menyelesaikan masalah itu, katanya, jumlah pesakit yang menunggu bagi mendapatkan ubat di kaunter farmasi perlu dikurangkan sekali ganda dan perlu beralih kepada Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi atau Value Added Services (VAS) yang telah diperkenalkan sejak 2009.

“Kita telah lama memperkenalkan perkhidmatan ini, namun, sambutan diterima agak mengecewakan, malah, berdasarkan statistik terbaru direkodkan pada 2016 hanya 20 peratus pesakit menggunakan perkhidmatan itu.

“Dengan adanya kesedaran pengguna terhadap alternatif yang disediakan ini, kita harap seramai 700 pesakit akan mendapatkan ubat menggunakan perkhidmatan ditawarkan manakala selebihnya (700) menggunakan perkhidmatan seperti biasa iaitu mendapatkan  ubat dari kaunter farmasi,” katanya.

Nor Azimi berkata, antara perkhidmatan yang terdapat dalam VAS ialah sistem pendispensan ubat–ubatan bersepadu yang memberi kemudahan kepada pesakit mendapatkan ubat susulan di fasiliti berhampiran kediaman pesakit.

Katanya, terdapat empat lagi kaedah pengambilan ubat di bawah perkhidmatan ini iaitu sistem letak dan ambil, sistem temu janji, pesanan ubat melalui pos dan sistem pandu lalu yang diperkenalkan sekitar 2010.

“Perkhidmatan VAS adalah perkhidmatan berinovasi yang diperkenalkan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepatkan pengambilan ubat susulan bagi pesakit yang dipreskrib ubat untuk  jangka panjang melebihi sebulan.

“Sebelum ini, pesakit perlu hadir ke farmasi dan menunggu, dengan adanya perkhidmatan ini, mereka tidak lagi perlu menunggu lebih lama,” katanya.

Beliau berkata, semua perkhidmatan itu diberikan secara percuma kecuali Perkhidmatan Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP1M) di mana kos penghantaran ditanggung pesakit bergantung pada destinasi dan berat bungkusan dihantar.

Katanya, VAS telah membantu pesakit menjamin kesinambungan bekalan ubat, mengurangkan masa menunggu, menjimatkan kos perjalanan dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.

“Kita berharap, perkhidmatan ini dapat membantu menaikkan lagi tahap kesihatan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Farmasi, Ruzita Awang berkata, Jabatan Farmasi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menyasarkan lebih 20 peratus pengguna menggunakan VAS yang disediakan.

“Kita harap dengan adanya hebahan yang dilakukan ini, lebih ramai yang akan tahu mengenai perkhidmatan ini sekali gus mengurangkan kesesakan di kaunter farmasi,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, 70 peratus pengguna tahu akan kewujudan perkhidmatan ini namun memilih untuk menggunakan perkhidmatan di kaunter manakala 30 peratus lagi pengguna tidak tahu mengenai perkhidmatan ini.

Katanya, bagi perkhidmatan pandu lalu pula, daripada 1,237 pesakit yang mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan ini, hanya 750 yang aktif.

“Setakat ini dalam sehari 50 pesakit menggunakan perkhidmatan ini dan jumlah itu masih belum mencapai sasaran,” katanya.

Ditanya mengenai keraguan pesakit antara salah satu punca mereka enggan menggunakan perkhidmatan ini, katanya, pesakit tidak perlu ragu kerana sebelum ubat diberikan, ia telah melalui tiga kali proses semakan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Pasukan perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sudah bersedia menerima Mamat Jusoh, rakyat Terengganu yang kini sedang koma dan dirawat di Hospital Ajyaad, Makkah.
  • KUALA TERENGGANU - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan melawat Kompleks Pakar Materniti Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
  • KUALA TERENGGANU - Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bersama Institut al-Quran Terengganu menganjurkan kempen menderma darah di Dewan Ibnu Mas’ud Kampus Padang Midin IQT pada 20 Februari lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.