BATU RAKIT - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Terengganu telah membayar faedah keseluruhan sebanyak RM5.9 juta kepada pencarum atau waris yang layak sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini, Perkeso telah membayar faedah sebanyak RM4.4 juta.

Menurutnya, bayaran itu merangkumi pelbagai faedah seperti pengurusan mayat, hilang upaya kekal, hilang upaya sementara, pencen penakat dan sebagainya.

"Sehingga kini kita giat mengesan mana-mana pencarum yang berdepan dengan pelbagai musibah untuk dibantu

“Penubuhan Skuad Prihatin Perkeso yang memainkan peranan dengan memberi maklumat kepada masyarakat tentang pentingnya pekerja dicarumkan juga sangat membantu.

“Justeru, kita di pihak Perkeso sentiasa komited dalam membantu pekerja dan melakukan lawatan ke syarikat-syarikat untuk memastikan majikan yang layak untuk membuat caruman kepada pekerja mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir menyampaikan faedah pengurusan mayat dan faedah pencen penakat kepada isteri arwah Mohamad Amin Ibrahim yang maut dihempap pokok dalam kejadian di Mengabang Lekar 7 Oktober lalu.

Faedah itu diserah kepada waris iaitu isteri arwah, Razleen Awang, 34, dan dua cahaya mata lelaki.

Menurut Nora lagi, tahap kesedaran masyarakat terhadap hak mereka sebagai pekerja juga telah menunjukkan peningkatan.

“Secara dasarnya, mana-mana syarikat atau majikan yang mempunyai seorang pekerja juga telah layak untuk mencarum,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu mengambil tanggungjawab untuk memaklumkan kepada pasangan masing-masing mengenai caruman yang dibuat serta kaedah membuat tuntutan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.