KEMAMAN - Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) menyasarkan pendapatan meningkat kepada RM4 juta setahun berbanding RM2.5 juta sebelum ini menerusi projek tanam semula kelapa sawit yang dijalankan sekarang di atas ladang wakaf seluas 343 hektar milik mereka di Sungai Pergam, di sini.

Yang Dipertua Perkaya, Profesor Datuk Tengku Mahmud Mansor berkata, projek tanam semula itu dijangka bakal memberi pulangan lebih besar ekoran benih yang digunakan adalah klon terbaharu yang mampu mengeluarkan buah satu setengah kali ganda lebih banyak berbanding benih biasa.

Menurutnya, projek tanam semula itu melibatkan tiga fasa di mana penanaman fasa pertama melibatkan keluasan 80 hektar dan proses penanamannya dijangka siap pada bulan ini.

“Selepas itu, kita akan sambung dengan fasa kedua yang melibatkan keluasan antara 80 hingga 101 hektar dan mungkin dalam tempoh dua tahun, kerja tanam semula ini akan selesai di seluruh ladang.

Kerja tanam semula melibatkan anak pokok klon terbaharu yang bakal mengeluarkan buah lebih banyak berbanding benih biasa.

“Pada waktu itu juga pokok yang ditanam bagi fasa pertama akan berbuah dan ia akan jadi pusingan yang membolehkan kita menjana pendapatan berterusan,” katanya selepas merasmikan Program Tanam Semula Ladang Wakaf Perkaya di Ladang Sawit Perkaya, Sungai Pergam, di sini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Ladang Sawit Perkaya Sdn Bhd, Datuk Harun Hassan dan Setiausaha Perkaya, Mustaffa Said.

Dapat tampung lebih ramai anak yatim

Mengulas lanjut, Tengku Mahmud berkata, dengan peningkatan pendapatan itu, Perkaya dijangka mampu menanggung 600 anak yatim pada satu-satu masa.

“Setakat ini kita ada seramai 500 anak yatim di lima buah asrama kita yang mana kapasiti asrama kita boleh menampung sehingga 600 pelajar pada satu-satu masa,” katanya.

Ladang sawit Perkaya di Sungai Pergam yang mula dibuka 30 tahun lalu merupakan ladang sawit wakaf pertama di negara ini.

Menurut beliau, ladang itu juga satu-satunya ladang di Malaysia yang berstatus kekal kerana ladang lain biasanya mempunyai tempoh kontrak sehingga 60 tahun sahaja.

“Dengan status kekal ini, kalau diuruskan dengan baik, ia dapat memberi pendapatan berterusan untuk kebajikan anak yatim Terengganu.

“Ladang ini juga bernasib baik kerana terletak di tengah-tengah ladang antara ladang Felda Neram 2, Felda Neram 1 dan ladang Yayasan Islam Terengganu (YIT), jadi kita tidak diancam musuh tanaman seperti gajah.

“Ia tidak seperti ladang kedua milik kami yang terletak di Kuala Jengai, Dungun berkeluasan 607 hektar yang diserang gajah hingga tanaman di kawasan seluas 242 hektar habis musnah,” katanya.

Dalam proses tanam durian Musang King

Sementara itu, untuk meningkatkan lagi pendapatan Perkaya, Tengku Mahmud berkata, pihaknya akan menanam pokok durian Musang King yang ketika ini menjadi sumber kekayaan baharu negara.

Katanya, Perkaya sekarang dalam proses menanam pokok durian Musang King di atas tanah seluas 7.2 hektar di kawasan dusun buah-buahan di ladang wakaf itu dan kawasan universiti milik mereka, Kolej Universiti Bestari (UC Bestari) di Setiu.

“Sekarang terkenal dengan Musang King, jadi kita akan tanam pokok ini di atas tanah seluas 3.2 hektar di ladang wakaf ini dan menerusi UC Bestari, kita juga bekerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menanam empat hektar pokok durian ini di kawasan universiti kita.

Hampir 80 hektar kelapa sawit di ladang wakaf Perkaya sudah dibersihkan untuk kerja-kerja penanaman semula.

“Dengan penanaman Musang King ini, kita akan memperoleh hasil 20 kali ganda daripada hasil jualan kelapa sawit,” katanya.

Jelasnya, benih durian Musang King itu dibekalkan pihak UniSZA dan jika diuruskan serta dijaga dengan baik, setiap pokok akan mengeluarkan hasil selepas berusia antara lima hingga enam tahun.

Projek rintis perkenal teknik baharu

Menyentuh menge­nai gangguan gajah di ladang kedua Perkaya, Tengku Mahmud menjelaskan, pihaknya kini sedang berusaha untuk melakukan penanaman semula dengan kerja­sama sebuah syarikat berpangkalan di luar negara.

Katanya, syarikat itu akan memperkenalkan teknik-teknik untuk pembajaan di mana baja yang digunakan mengeluarkan bau yang membuatkan gajah atau haiwan perosak lain menjauhi ladang kelapa sawit terbabit.

“Jadi ini adalah satu projek rintis dan syarikat itu bantu kita secara percuma melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka walaupun mereka terpaksa mengeluarkan per­belanjaan yang mungkin beratus-ratus ribu ringgit,” katanya.

Tengku Mahmud yang diiringi Harun menyempurnakan gimik perasmian projek tanam semula yang diadakan di tengah-tengah ladang sawit wakaf Perkaya.

Sementara itu, Mustaffa berkata, menerusi konsep ladang wakaf, Perkaya merekodkan seramai 2,985 orang pewakaf pertama yang membeli anak pokok dan tanah di keseluruhan 343 hektar ladang terbabit pada 30 tahun lalu.

“Daripada jumlah ini, setakat ini seramai 215 pewakaf menderma semula melibatkan jumlah RM100,000 untuk kerja penanaman semula itu.

“Pewakaf ini datang dari seluruh negara termasuk dari Johor dan ada juga dari Singapura. Setakat ini yang wakafkan paling banyak adalah 900 pokok sawit,” katanya.