KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengharapkan pengamal undang-undang syariah di negeri ini terus berusaha memartabatkan dan memperkasakan undang-undang syariah di Terengganu.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman Muda berkata, dalam mencapai matlamat itu, semua pihak perlu melipatgandakan usaha supaya boleh membuat lonjakan besar ke arah mencapai matlamat itu.

Menurutnya, peguam syarie sendiri perlu meningkatkan keupayaan beramal dalam pelbagai isu undang-undang syariah dan seterusnya dapat membantu lebih ramai orang yang memerlukan bantuan dari sudut perundangan syariah.

“Maidam sendiri sedang mengkaji dalam usaha untuk mewujudkan ‘Kaedah-Kaedah Profesion Peguam Syarie di Negeri Terengganu’ yang pada dasarnya bertujuan untuk melihat lebih ramai peguam syarie yang berkualiti dan beretika tinggi dalam bidang profesional yang sangat dipandang tinggi oleh masyarakat hari ini.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan Persatuan Peguam Syarie Terengganu (PPST) dan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dalam melaksanakan pelbagai program kepada peguam syarie negeri ini pada masa hadapan.

“Jadi, saya menyeru kepada semua peguam syarie untuk merebut peluang ini menyertai program-program anjuran Maidam supaya dapat menambah pengetahuan secara berterusan dan seterusnya mendapatkan maklumat terkini daripada panel yang dijemput khas dalam kursus yang dianjurkan,” katanya.

Antara peguam syarie yang hadir pada Kursus Etika Peguam Syarie Negeri Terengganu bertempat di Hotel Grand Puteri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Etika Peguam Syarie Negeri Terengganu bertempat di Hotel Grand Puteri di sini, kelmarin.

Turut hadir, Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Mohd Yazid Mustafa merangkap Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dan Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd.

Kursus itu disertai 108 daripada 113 peguam syarie yang berdaftar dengan Maidam setakat bulan Ogos tahun ini bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada semua peguam syarie di Terengganu selain menyemai elemen integriti dan beretika tinggi dalam profesion mereka.