HULU TERENGGANU - Ketibaan musim tengkujuh saban tahun bagaikan 'perintah berkurung' bagi penduduk yang tinggal di seberang sungai, di Kampung Kepah, di sini, terutamanya jika bencana banjir melanda.

Difahamkan, terdapat lima buah rumah yang berisiko terputus hubungan apabila jambatan sebagai penghubung laluan utama ditenggelami air ekoran peningkatan paras Sungai Telemong selain arus begitu deras.

Senario itu menyebabkan penduduk terlibat mengambil pendekatan berkurung di rumah kerana kesukaran untuk keluar dan sepanjang tempoh tersebut mereka bergantung kepada bekalan makanan yang disimpan.

Berkongsi cerita senario kehidupan penduduk yang tinggal di seberang sungai ketika musim tengkujuh, Ramah Abdullah, 83, berkata, ia bukanlah cerita baharu baginya sebaliknya telah dilalui sejak puluhan tahun lalu.

Sedia bekalan makanan bermula Oktober

Menurut warga emas ini, waktu 'berkurung' bagi dia sekeluarga bergantung kepada tempoh jambatan tenggelam dan persiapan stok bekalan makanan biasanya bermula sekitar bulan Oktober.

"Saya tinggal di sini sejak kira-kira 50 tahun lalu dan setiap kali banjir, mesti penduduk di sini berkurung kerana tidak boleh keluar ke seberang sebelah perkampungan utama. Sebelah sini kawasan kebun.

"Tidak banjir pun saya memang tidak ke mana-mana sekarang sebab dah tua tetapi ahli keluarga lain akan keluarlah. Musim banjir semua berkurung di rumah kerana jambatan tenggelam.

"Dulu jambatan kayu, sekarang ini batu (konkrit) tapi tenggelam juga kalau musim banjir sebab air sungai besar (paras meningkat). Syukur, selama ini air banjir tidak pernah lagi cecah lantai ibu rumah.

Keadaan salah sebuah rumah di Kampung Kepah Sabtu lalu tetapi semalam telah surut sepenuhnya.

"Walaupun kawasan halaman rumah jadi macam laut tapi biasanya air lebih kurang tiga kaki (satu meter) sahaja. Sekejap sahaja begitu, naik hari ini esok surutlah sini tapi jambatan tenggelam lagi," katanya.

Anaknya yang tinggal serumah, Maimunah Nik Li, 44, berkata, dia dan suami, Zahari Zakaria, 45, akan mula membeli bekalan makanan secara sedikit demi sedikit bermula Oktober hingga Disember.

"Suami hanya berkerja kampung, biasanya kami berkurung di rumah yang terletak lebih kurang 20 meter dari sungai selama dua minggu. Bekalan makanan yang ada cukuplah untuk keperluan kami lima orang yang tinggal di rumah ini.

"Selain mak serta suami, dua anak saya berusia 14 dan 8 tahun juga tinggal di sini. Banjir pula biasanya berlaku beberapa kali sepanjang musim tengkujuh, kalau keadaan terpaksa sangat barulah keluar ikut jalan alternatif," ujarnya.

Jarak jauh laluan alternatif

Bagi seorang lagi penduduk, Siti Hasmah Muda, 31, berkata, biarpun terdapat jalan alternatif bagi penduduk tinggal di seberang sungai untuk keluar tetapi jaraknya begitu jauh sehingga mengambil masa hampir satu jam perjalanan.

Katanya, sepanjang enam tahun menetap di situ bersama suami, Mohd Zulkifli Ismail, 31, dan dua anak berumur tiga dan 10 tahun, mereka lebih banyak berkurung berbanding tinggal sementara di rumah keluarga sewaktu banjir.

"Laluan keluar melalui Bukit Kesing ada tetapi jauh, jalan pula melalui kawasan belukar serta kebun sawit, risiko lain pula ada. Kalau banjir besar, laluan alternatif ini pun tidak boleh dilalui.

"Kalau benar-benar penting sahaja barulah kami keluar ikut jalan alternatif, jika tidak mustahak memang berkurung di rumah sajalah dan yang penting ialah bekalan beras ada sepanjang tempoh itu.

Keadaan jambatan yang menghubungkan lima buah rumah penduduk tinggal di seberang sungai dengan kawasan perkampungan utama.

"Lauk-pauk tidak kisah mana kerana suami boleh memukat ikan sungai. Tempoh berkurung biasanya sekitar dua minggu, selagi jambatan tenggelam selagi itulah kami sukar untuk keluar," ujarnya.

Berpindah ke rumah keluarga

Berlainan cerita bagi Norliza Diana Mustafa, 36, yang mengambil pendekatan untuk tinggal sementara di rumah keluarga mertuanya yang turut terletak di Kampung Kepah tetapi bukan di seberang sungai.

"Saya dan suami, Mohd Hanafi Che Mahmud, 32, serta tiga anak yang berusia 7,5 serta 2 tahun baharu tinggal di sini dua tahun lalu. Banjir tahun lepas pengalaman pertama bagi kami.

"Memandangkan jambatan tenggelam apabila paras sungai meningkat ketika banjir dan rumah juga dinaiki air jadi, saya pindah ke rumah mertua. Banjir musim tengkujuh tahun lalu, pindah November, awal Januari baru pulang ke rumah semula.

"Kali ini mungkin begitu juga dan sekarang ini saya telah buat persiapan awal dengan angkat barang ke tempat tinggi. Sebelum ini tidak sempat, air banjir melanda secara mengejut," ujarnya.