KUALA TERENGGANU - Atlet Terengganu yang akan beraksi pada Sukma ke-19 di Perak bulan depan diminta kekal fokus dan menjaga disiplin, atau berdepan dengan tindakan tegas, termasuk dihantar pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, walaupun Terengganu menghantar kontinjen terbaik dan berhasrat menjuarai Sukma kali ini, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana atletnya yang tidak berdisiplin.

Menurutnya, aspek disiplin amat diberi penekanan, namun beliau yakin atlet-atlet Terengganu boleh mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pegawai dan jurulatih, kerana ia menjadi asas kepada kejayaan sesebuah pasukan.

“Kita memang nak menang tapi dalam masa yang sama, kita tidak boleh mengabaikan disiplin. Kita tidak mahu ada atlet yang melanggar peraturan seperti meninggalkan kem tanpa kebenaran.

“Disebabkan itu, bermula 5 September nanti, kita akan adakan satu kem yang disertai semua atlet kita selama 10 hari. Aspek disiplin dan peraturan antara yang kita berikan penekanan dalam kem itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kunjung Hormat sempena penganjuran Sukma ke-19 Perak 2018 yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Perak yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan delegasinya hadir ke negeri ini bagi membuat jemputan rasmi ke kejohanan itu yang akan berlangsung pada 12 hingga 22 September nanti.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata, Terengganu akan menghantar seramai 550 atlet ke Sukma kali ini, dengan jumlah keseluruhan delegasi melibatkan 754 orang.

“Kita akan sertai 29 jenis sukan dengan misi Terengganu kali ini ialah untuk menjadi juara keseluruhan, iaitu juara buat kali kelima. Kita yakin matlamat itu akan dapat dicapai.

“Harapan saya kepada atlet-atlet Terengganu agar dapat mencipta sejarah tersendiri untuk diri masing-masing dan dalam masa yang sama, mengharumkan nama negeri Terengganu dengan memberikan persembahan terbaik,” katanya.