GONG BADAK - Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diingatkan agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan kehadiran haiwan berbisa yang kerap ditemui pada musim tengkujuh ini.

Sehubungan itu, pemilik rumah yang dinaiki air disaran memeriksa terlebih dahulu kediaman masing-masing agar bebas daripada haiwan yang boleh mengancam nyawa.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata, kebanyakan haiwan berbisa seperti ular, kala jengking dan sebagainya akan dihanyutkan air banjir serta menjadikan kawasan lembap dan terlindung untuk bersembunyi.

“Biasanya kawasan lembap seperti simen, rak dapur, kabinet, bilik air dan sebagainya digemari haiwan berbisa seperti ular.

“Jadi, kita ingatkan orang ramai terutamanya mangsa-mangsa banjir yang rumahnya dinaiki air perlu membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum membenarkan ahli keluarga yang lain masuk.

“Jika mendapati ada haiwan berbisa, segera hubungi pihak kami atau pasukan keselamatan lain untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan sangkar ular di Ibu Pejabat APM Negeri Terengganu, di sini.

Sementara itu, mengikut rekod APM Kuala Terengganu/Kuala Nerus mencatatkan tangkapan ular paling tinggi iaitu sebanyak 1,565 kes sejak Januari hingga hingga September tahun ini.

Manakala Dungun kedua tertinggi iaitu 609 kes, diikuti Marang (607), Besut (425), Kemaman (356), Hulu Terengganu (328) dan Setiu daerah paling rendah merekodkan kes tangkapan ular iaitu hanya 139 kes.

Ular sawa antara tangkapan paling banyak direkodkan diikuti ular tedung, senduk dan lain-lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Ketika daerah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi mulai surut, kawasan Sri Medan, di sini, mengalami situasi yang berbeza apabila kawasan berkenaan pula dinaiki air.
  • KUANTAN - Keadaan banjir di daerah Pekan tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa masih kekal 102 orang daripada 26 keluarga yang ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam ini.
  • MUKAH - Kira-kira 1,350 penghuni rumah panjang dan penduduk kampung di kawasan Tanjung Pedada, Sungai Mukah, 27 kilometer dari sini terjejas hubungan darat apabila sebahagian jalan utama menghubungi kawasan itu ditenggelami banjir.
  • MERSING - Banjir di daerah ini pulih sepenuhnya apabila kesemua pusat penempatan sementara (PPS) yang dibuka sejak Khamis lalu ditutup dan mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing, jam 6 petang tadi.
  • JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah negeri ini turun mendadak kepada 289 orang daripada 68 keluarga setakat 3 petang ini berikutan penutupan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).