MARANG - Saya bersyukur isteri dan anak terselamat dalam kebakaran ini walaupun rumah pusaka tempat lahir saya ini musnah dalam sekelip mata saja,” kata Hasbullah Bakar, 33.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, Hasbullah dan isterinya, Nur Hafida Jasarudin, 30 serta anak bongsu mereka, Muhd Iman Darwin, 4, terselamat sejurus rumah pusaka di Gong Kekabu 1, di Batu 9 di sini, terbakar.

"Kejadian berlaku ketika isteri saya berada di luar rumah sedang memetik sayur manakala anak bongsu berada dalam rumah.

"Saya terus bergegas pulang ke rumah selepas isteri telefon memaklumkan mengenai kejadian menimpa mereka. Perasaan saya ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu," katanya.

Hasbullah yang bekerja sebagai pengimpal berkata, hanya beberapa peralatan elektrik di bahagian dapur rumah tidak terjejas manakala peralatan lain termasuk dokumen penting yang disimpan tidak dapat diselamatkan.

Amirullah (kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ketika mengadakan lawatan, hari ini.

"Walaupun ada usaha untuk padamkan kebakaran tapi api marak dengan cepat sebab struktur rumah pusaka peninggalan arwah kedua ibu bapa saya ini  diperbuat daripada kayu.

"Dokumen seperti kad pengenalan dua anak kami dan barang barang milik isteri semuanya habis musnah dalam kebakaran. Nilai kerugian akibat kebakaran pula dianggarkan sekitar RM150,000," katanya

Katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan ahli Majlis Belia Daerah Marang diketuai Pengerusinya, Amirullah Othman, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai, Penolong Penguasa Bomba Suriati Ariffin mengesahkan menerima laporan berkata, rumah jiran mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan.