KUALA TERENGGANU - Kelebihan perairan Terengganu yang memiliki pelantar minyak terbanyak iaitu 159 buah mengundang tumpuan nelayan asing terutama dari Vietnam.

Demi memperoleh keuntungan berganda, nelayan asing menjadikan kawasan pelantar minyak di perairan Terengganu sebagai 'syurga' mendapatkan hasil laut.

Majoriti mereka juga tidak serik menceroboh perairan negara meskipun pernah ditahan pihak berkuasa, malah ada dalam kalangan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun, sebanyak 49 kes pencerobohan yang kebanyakannya melibatkan tangkapan di sekitar kawasan pelantar minyak direkodkan membabitkan nilai rampasan lebih RM50 juta.

"Daripada jumlah tangkapan itu, kita dapati punca menarik nelayan asing menceroboh ke perairan negara terutama di perairan Terengganu adalah disebabkan hasil laut begitu banyak dan terbaik.

"Ini disebabkan pelantar minyak yang ada di sini adalah terbaik dalam negara, dan bila ada pelantar minyak, di situlah lubuk ikan serta hasil laut lain termasuk sotong dan sebagainya," katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Pulau Kambing, di sini, hari ini.

Rahim berkata, dalam kes terbaharu, dua buah bot nelayan Vietnam ditahan di dua lokasi berasingan iaitu antara 33 hingga 39 batu nautika dari muara Kuala Terengganu berhampiran pelantar minyak Banang, malam kelmarin.

"Turut ditahan seramai 21 awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 18 hingga 60 tahun bersama rampasan bernilai hampir RM2.4 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua ditahan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan yang sah," katanya.

Jelas Rahim, mereka yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran sah dan tidak memiliki lesen sah.

"Selain itu, nelayan warga asing ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja yang sah," katanya.