KUALA TERENGGANU - Jumlah keseluruhan pampasan yang dituntut oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan ekoran penyerahan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) ialah sebanyak RM183 juta.

Bagaimanapun, sehingga kini, jumlah pembayaran yang diterima kerajaan negeri ialah RM10 juta, pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman berkata, pembayaran pampasan itu akan dibuat secara berjadual dan kerajaan negeri telah meminta pihak Unisza untuk menyelesaikannya.

“Antara cadangan kita iaitu untuk tahun 2017, kita pohon dan telah disediakan satu peruntukan sebanyak RM61 juta dan Insya-Allah akan dibayar pada tahun ini dan tahun seterusnya iaitu pada 2018, adalah bakinya iaitu sebanyak RM112 juta.

“Kita telah usaha agak lama untuk mendapatkan bayaran ini. Kerajaan persekutuan dan negeri mempunyai hubungan yang baik dan Insya-Allah, kita akan selesaikan dan dapat yang kita tuntut,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ridzuan Hashim (Pas-Teluk Pasu) pada Sidang Dun di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Jelas beliau, penubuhan dari Kusza kepada Unisza menjadi perkara yang sangat dinantikan dan menambah kesejahteraan rakyat dengan pembinaan Hospital Pengajar Unisza.

“Pembinaan hospital pengajar ini melibatkan 200 katil. Itu adalah tambahan daripada perancangan asal kita, ia adalah penambahbaikan yang kita dapat, hasil usaha untuk memperkembangkan dan memajukan lagi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.