KUALA TERENGGANU - Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Terengganu, Talib Abdul Rahman, 65, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Terengganu kali ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Terengganu, dipilih atas sumbangan besarnya kepada masyarakat Terengganu dan pembangunan Islam.

Talib ketika ditemui, melahirkan kesyukuran di atas penganugerahan itu dan menyifatkannya sebagai dorongan bekerja lebih kuat untuk menyebarkan dakwah Islam.

“Kerja yang saya lakukan selama ini semata-mata kerana ALLAH, untuk Islam. Saya tak sangka dipilih pada tahun ini tapi Alhamdulillah, ini semua takdir ALLAH.

“Selagi nyawa di kandung badan, saya akan teruskan usaha menyebarkan ilmu dan dakwah Islam kepada masyarakat kerana itu niat saya sejak daripada bangku sekolah.

Anak kelahiran Wilayah Kampung Cham, Kemboja itu berkata, profesion sebagai pensyarah dipilih sebagai kerjaya bagi membolehkannya menyebarkan ilmu kerana dapat menyalurkan pahala setelah tiada di dunia ini,” katanya.

Sebelum itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada beliau di Stadium Negeri, di sini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Selain plak dan piala, Talib turut memperoleh RM10,000, tajaan umrah bernilai RM10,000, set persalinan bernilai RM500 dan sijil penghargaan.