KUALA TERENGGANU - Seorang penyelia stor Ladang Ketengah Perwira dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen, hari ini kerana menerima rasuah daripada pembekal barangan alat ganti dan baja berjumlah RM750.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Zamri Jusoh,56, turut berdepan hukuman penjara satu tahun lagi sekiranya dia gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM750 daripada pemilik Syarikat TP Parts & Machinery, Tham Mun Hing melalui akaun bank milik isterinya, Siti Noor Hiddayah Deraman sebagai upah selepas membuat perakuan terhadap beberapa dokumen pembekalan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ladang Ketengah Perwira Sdn Bhd Kemaman pada 13 Mei 2015.

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.