KUALA TERENGGANU - Hasrat seorang pemuda membeli sebuah komputer riba baharu dengan harga murah tidak kesampaian apabila dia dipercayai ditipu selepas membuat urusan jual beli secara dalam talian, Sabtu lalu.

Kejadian berlaku selepas mangsa berusia 22 tahun dan masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melayari laman web sebelum tertarik satu iklan jualan komputer riba berjenama dengan harga ditawarkan hanya RM2,350.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, berminat dengan tawaran itu, mangsa tanpa berfikir panjang terus menghubungi penjual terbabit menerusi aplikasi WhatsApp.

“Sejurus memaklumkan persetujuan untuk membeli komputer riba tersebut, mangsa diarahkan penjual membuat pembayaran penuh ke dalam akaun bank diberikan.

“Tanpa sebarang keraguan, mangsa akur dengan arahan diberikan sebelum menjelaskan kesemua bayaran pada hari sama seperti diminta, namun selepas itu, lelaki berkenaan gagal dihubungi.

“Mangsa cuba menghubungi beberapa kali dengan menghantar pesanan melalui WhatsApp tetapi tiada respons malah, mangsa cuba menelefon tetapi tidak dijawab,” katanya ketika dihubungi.

Idris berkata, mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu sebelum mengambil keputusan membuat laporan polis kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.