HULU TERENGGANU - Penternak dan petani terpaksa berputih mata setiap kali dilanda banjir, yang menyebabkan mereka menanggung kerugian besar setelah tanaman musnah serta haiwan ternakan hanyut dibawa arus.

Kedukaan itu tidak terhenti di situ sahaja kerana ada antara mereka terpaksa mengalami kerugian berganda apabila kediaman masing-masing turut dinaiki air.

Hanya 25 kambing terselamat

Berkongsi pengalaman, penternak kambing dari Kampung Kuala Jeneris, Rohani Sulong, 60, berkata, kerugian kira-kira RM32,000 dalam kejadian banjir minggu lepas disifatkan paling buruk pernah dilaluinya setakat ini.

Menurutnya, arus deras banjir yang melanda Selasa dan Rabu lalu menyebabkan kandang kambing dibina dengan kos RM28,000 rosak teruk, dengan anggaran kerugian sekitar RM20,000.

“Hujan lebat mengakibatkan paras air Sungai Telemong naik mendadak, selain berlaku hakisan tebing selebar kira-kira 15 meter melibatkan kawasan kandang kambing. Paras air di kawasan kandang ketika itu mencecah empat meter, mujurlah suami (Yunus Hitam, 53) sempat pulang dari tempat kerja di Kuala Terengganu untuk memindahkan kambing ternakan.

"Kami hanya sempat selamatkan 25 kambing yang kemudian ditempatkan di sebuah rumah setelah kandang roboh, sementara 15 lagi bernilai kira-kira RM12,000 mati dan hanyut dibawa arus banjir,” katanya.

Justeru, kata Rohani, dia sekeluarga berhasrat untuk berpindah berikutan rumah lama tidak selamat dihuni lagi, tambahan selepas kejadian banjir teruk minggu lalu.

“Saya dan suami berhajat untuk tinggal di rumah menempatkan kambing yang selamat itu, sementara kandang kambing pula akan dibina bersebelahan. Rumah milik anak ini lebih selamat kerana terletak di kawasan lebih tinggi berbanding rumah sebelum ini.

“Walaupun terpaksa berdepan kerugian besar, namun saya bersyukur kerana masih ada ternakan dapat diselamatkan. Kami juga selamat mengharungi banjir sedalam kira-kira 1.5 meter untuk ke pusat pemindahan,” katanya.

Harap bantuan ringan beban kerugian

Sementara itu, di Setiu, seorang petani muda, Nik Mohd Fazrol Fahmi Nik Man, 22, kerugian hampir RM15,000 apabila kira-kira 1,000 pokok lada di kebun berdekatan rumahnya di Kampung Pak Ba, musnah dalam kejadian banjir yang turut melanda daerah ini minggu lepas.

Sebahagian pokok lada diusahakannya ditenggelami air sedalam kira-kira 0.5 meter, sedangkan dia baru sahaja memulakan projek tersebut empat bulan lalu di kawasan seluas 0.6 hektar dengan modal sebanyak RM13,000.

"Tanaman saya musnah, selain daun gugur, batang juga jadi buruk. Jangkaan awal dapat tuai 20 kali lagi hasil 2,800 pokok lada kerana jangka hayat tanaman ini sekitar lapan bulan.  Bagaimanapun, saya hanya sempat memungut hasil 16 kali dengan memperoleh 800kg lada bernilai kira-kira RM6,400 disebabkan banjir.

"Ini pengalaman pertama kerana saya baru berkecimpung dalam pertanian. Kerugian hampir RM15,000 begitu besar. Saya harap ada pihak dapat membantu kerana saya tidak mampu menanggung kerugian tersebut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan di Jasin dan Alor Gajah meningkat sedikit kepada 246 orang setakat 8 malam ini berbanding 242 orang petang tadi.
  • MELAKA - Kerajaan Negeri merangka tiga pendekatan utama melibatkan sistem saliran dan tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir yang melanda negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.