KUALA BERANG - Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang jamin kepimpinan kerajaan negeri di bawah Pas akan terus dilaksanakan berdasarkan prinsip budaya politik, matang dan sejahtera (BPMS) dengan tiada dendam pada pihak lawan.

Menurutnya, beliau juga yakin segala manifesto ditawarkan pada PRU14 itu mampu dilaksanakan sebaik mungkin mengikut keutamaan dan keperluan serta perkembangan masa yang dilalui.

“Rakyat telah beri kita (Pas) mandat dan kemenangan pada PRU14 lalu juga amanah Allah untuk kita laksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

"Komitmen kita, suatu perubahan akan dilakukan selagi ia tidak berj

canggah dengan perlembagaan.

“Berpegang teguh kepada prinsip asas BPMS tentunya kita yakin kerajaan negeri akan terus bersikap adil kepada rakyat serta semua pihak tanpa mengira fahaman politik, budaya atau agama.

“Biarpun sebelum ini pernah diperlakukan macam-macam oleh pihak lawan, namun kita tiada dendam. Perjalanan kepimpinan kerajaan negeri akan terus berjalan secara BPMS hingga akhirnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 1439H anjuran Pas Kawasan Hulu Terengganu serta Majlis Tindakan Dun Kuala Berang, di sini, semalam.

Tambahnya, tawaran manifesto juga tentunya akan dilaksanakan kerajaan negeri satu persatu sehingga ia berjaya dilaksanakan sehingga akhir penggal ini atau dalam tempoh empat atau lim tahun akan datang.

Dalam perkembangan lain, Husain juga mengingatkan kepada semua petugas parti pada PRU14 lalu agar lupakan segala pergeseran andai masih ada di hati kerana masing-masing perlu menjalankan tugas.