KUALA TERENGGANU - Penipuan sebuah syarikat dari Shah Alam yang menjalankan jualan langsung tanpa lesen terbongkar selepas kira-kira tujuh pekerja syarikat terbabit berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah hotel, di sini petang semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Terengganu, Azlan Abdul Samat berkata, serbuan kira-kira jam 5 petang itu turut menyita dokumen jualan langsung serta dua unit mesin layan diri iaitu Mesin Vending dan Mesin Pencuci Kereta Automatik dengan kedua-duanya bernilai kira-kira RM80,000 yang merupakan produk syarikat bagi tujuan memperdaya mangsa.

Menurutnya, penipuan skim jualan langsung itu juga melibatkan kerugian wang deposit milik 20 mangsa bernilai RM700,000.

"Modus operandi syarikat tersebut adalah dengan membuat panggilan telefon serta mengiklankan peluang penjanaan secara atas talian melalui aplikasi Facebook, WhatsApp dan Weechat khususnya bagi penduduk di Terengganu.

"Pihak syarikat akan menelefon pelanggan supaya menghadiri seminar yang diadakan di hotel-hotel terpilih sekitar Terengganu sebagai platform memberi taklimat dan memasarkan produk mereka.

"Mereka juga menyediakan pelan pemasaran bagi produk seperti risalah, baucar, sijil dan sebagainya bagi menarik pelanggan," katanya kepada pemberita pada sidang media di Stor Penyimpanan KPDNKK negeri, di Chendering, di sini, hari ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :