KAMPUNG RAJA - Polis tidak menolak kemungkinan motif dendam menjadi punca seorang peniaga ikan ditetak sekumpulan lima lelaki tidak dikenali dalam kejadian di kawasan kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besut, kira-kira jam 9.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, motif dendam disyaki menjadi punca suspek yang bersenjatakan pedang dan menutup muka dengan kain, bertindak menyerang mangsa berusia 60 tahun itu.

Bagaimanapun katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti sekiranya terdapat motif lain hingga mendorong suspek melakukan perbuatan tersebut.

“Polis melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti motif kejadian seterusnya mengesan suspek,” katanya.

Menceritakan kejadian, Mohd Zamri berkata, mangsa ketika itu sedang memandu Proton Wira bersama isterinya di kawasan kompleks tersebut, sebelum didatangi sebuah Perodua Axia.

Menurutnya, sekumpulan lima lelaki bersenjatakan pedang dan menutup muka kemudian meluru ke arah kereta mangsa, lalu bertindak memecahkan cermin kereta serta menetak lengan mangsa.

“Isteri mangsa yang berada di dalam kereta sama tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kebetulan ketika kejadian anak lelaki mangsa berada di kawasan berdekatan dan bertindak mengejar suspek yang kemudian melarikan diri menaiki Perodua Axia. Kereta terbabit kemudian terbabas di tepi jalan masuk ke kompleks tersebut, tetapi mereka semua sempat melarikan diri," katanya.

Tambah Mohd Zamri, pemeriksaan lanjut mendapati kereta terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Balai Polis Kerteh.

“Sehingga semalam, polis masih mengesan suspek dan belum ada tangkapan dibuat. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Seorang lelaki ditemui mati ditetak dalam kejadian di Kampung Pengkalan Nyireh dekat Kampung Raja di sini petang tadi.
  • SUBANG JAYA - Seorang lelaki yang parah ditetak di bahagian kepala dengan cangkul ditemui berlumuran darah di tepi sungai berhampiran Kampung Kenangan, Batu 13 di sini, awal pagi semalam.