KUALA TERENGGANU - Kira-kira 20 peniaga di Kiosk Akuatik Batu Buruk, di sini, mengadakan demonstrasi kerana enggan berpindah ke lokasi baharu berhampiran Taman Awam Batu Buruk, atas alasan lokasi perniagaan di situ tidak sesuai dan tidak mendapat sambutan.

Wakil peniaga, Rosidayu Mohd Deris, 35, berkata, Januari lalu peniaga di situ ada mengemukakan bantahan untuk tidak berpindah ke tempat baharu dan pernah meminta penangguhan sehingga 24 Mac lalu.

Katanya, pada 1 April lalu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ada hantar notis supaya peniaga kosongkan premis perniagaan sebelum 20 April dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan.

"Kita memang ada dapat notis mengatakan bahawa Kiosk Akuatik ini ditutup pada 31 Mac 2017 dan meminta supaya kami mengosongkan premis dan memulangkan kunci pada 19 April 2017.

"Operasi dan penguatkuasaan termasuk pengalihan barang akan dijalankan MBKT pada 20 April (semalam) terhadap peniaga yang masih enggan berpindah," katanya ketika ditemui selepas demonstrasi yang diadakan peniaga di kawasan itu.

Rosidayu berkata, hampir semua peniaga di situ kecewa dengan keadaan dan sambutan pelanggan di lokasi baharu, malah dalam tempoh percubaan berniaga selama tiga minggu, mereka tidak berjaya menarik ramai pelanggan menyebabkan ada antaranya hanya memperoleh tidak sampai RM20 sehari.

"Di situ persaingan kuat, disebabkan banyak tempat makan yang lain yang kedudukannya amat rapat, malahan pelanggan juga tidak begitu nampak lokasi perniagaan kita. Ruang niaga disediakan juga begitu sempit berbanding sedia ada.

"Disebabkan banyak barangan perniagaan, kita buntu memikirkan susun atur dalam kedai, kerana ruangan yang sempit," katanya.

Ditanya sama ada sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk tidak berpindah, katanya, perkara itu pernah diluahkan sehingga ke peringkat atasan, namun, tiada jawapan tepat diberikan dan selain meminta peniaga bersabar dan mengikut perancangan kerajaan.

"Kita sebenarnya memang nak minta kekal di tapak lama, kalau sewa di tapak lama nak dinaikkan pun kita sanggup, berbanding di tempat baharu," katanya.

Peniaga awalnya setuju berpindah

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, pada awalnya, peniaga diminta mengosongkan premis perniagaan di situ bagi kerja-kerja baik pulih struktur bumbung Pusat Akuatik yang pernah rosak akibat angin dan ribut yang kuat sebelum ini.

Katanya, disebabkan itu, kerajaan negeri berusaha sebaik mungkin sediakan tempat perniagaan baharu di situ, malah dalam pertemuan bersama Menteri Besar pada Januari lalu peniaga bersetuju berpindah ke gerai baharu selewat-lewatnya awal April 2017.

"Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman juga bersetuju mengurangkan kadar sewa dan memberi ruang kepada mereka untuk berniaga dahulu selama tiga bulan tanpa dikenakan bayaran sewa sehingga awal April 2017.

"Gerai baharu yang dibina itu juga semata-mata untuk 13 peniaga di Kiosk Pusat Akuatik ini sahaja, tiada tambahan peniaga baharu. Jadi kita memohon kerjasama semua peniaga terlibat berpindah ke tempat baharu sebagaimana dipersetujui," katanya.

Ditanya mengenai kadar sewa di situ, katanya, sepatutnya bayaran sewa dikenakan RM420, namun dikurangkan kepada RM250 hingga RM300 sahaja.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.