KERTEH - Harga ikan segar dan sayur yang naik sejak bulan lalu ekoran musim tengkujuh membuatkan peniaga di Kerteh terpaksa berkorban dengan hanya mengambil sedikit keuntungan sahaja bagi memastikan orang ramai terutama mangsa banjir tidak terlalu terasa beban kenaikan harga bahan mentah berkenaan.

Peniaga ikan, Ahmad Fazrul Ramli, 32, berkata, atas dasar timbang rasa, dia hanya mengambil untung sebanyak RM3 sahaja untuk setiap jenis ikan yang dibeli oleh pelanggannya.

Menurutnya, beberapa jenis ikan yang dijualnya mencatat kenaikan harga berbanding November lalu iaitu ikan tongkol hitam naik kepada RM14 sekilogram berbanding RM12, kerisi RM15 sekilogram (sebelumnya RM12), cencaru RM10 (sebelumnya RM9) dan sotong RM30 sekilogram (berbanding RM28).

"Hanya harga ikan selayang dan selar sahaja yang masih kekal iaitu masing-masing RM8 dan RM10 sekilogram.

“Harga ikan segar naik sebab kita terpaksa ambil dari nelayan laut dalam di Kuantan, Pahang. Mereka masih keluar tangkap ikan sebab ada bot besar.

“Tapi saya dan nelayan lain di Kemaman tak dapat turun dah, terlalu bahaya untuk turun masa tengkujuh sekarang,” katanya yang memiliki bot fiber dan mempunyai dua stor ikan di Kemasik.

Ahmad Fazrul berkata, dia tidak dapat ke laut untuk menangkap ikan sejak Disember lalu dan menjangkakan hanya dapat turun semula selepas musim hujan ketika ini benar-benar reda.

Masih mampu gajikan pekerja

Ahmad Fazrul menjual ikan segar di pasar malam dan pasar tani setiap hari kecuali Rabu dan Khamis yang mana gerainya terkenal sebagai gerai menjual ikan dengan harga paling murah berbanding di gerai-gerai yang lain.

Jelasnya, meskipun keuntungan yang diperoleh hasil menjual ikan tidak seberapa ketika ini namun dia masih mampu menggaji seramai empat pekerja.

“Biarlah untung sikit janji saya dapat gembirakan pelanggan terutama mereka yang baharu ditimpa musibah banjir.

"Untuk di Kemaman, ada penduduk yang dah hadapi empat gelombang banjir. Jadi dengan cara ini dapatlah saya ringankan beban mereka,” katanya.

Tak dapat tanam sayur

Sementara itu, peniaga sayur, Latifah Omar, 52, berkata, pengalamannya ditimpa banjir paling buruk dalam sejarah Kemaman pada 2013 membuatkannya sangat prihatin akan nasib mangsa banjir ketika ini.

Menurutnya, dia hanya menjual sayur pada harga RM2 seikat sahaja kerana memahami kesusahan mangsa banjir yang baru sahaja mengalami musibah.

“Banyak sayur naik harga masa musim tengkujuh sekarang sebab bekalan kurang. Pekebun sekitar daerah ini pun tak dapat bekalkan sayur sebab tak dapat nak tanam ekoran hujan. Nak ambil sayur dengan pembekal pun dah tak ada.

“Berikutan keadaan ini, kadang-kadang saya terpaksa beli bekalan sayur di pasar raya sebelum jual semula,” katanya.

Dia yang tinggal di Kampubg Pangkalan Pandan, Chukai berkata, pelbagai jenis sayur yang sudah dibersihkan dijualnya pada harga RM2 seikat untuk memudahkan pembeli dan meringankan beban.

“Dengan cara beli sikit-sikit ini pembeli tak akan rasa beban kenaikan harga sayur. Antara sayur yang naik harga adalah kailan, terung dan tomato.

“Atas dasar timbang rasa terhadap pembeli, kami sebagai peniaga cuba pelbagai cara untuk pastikan pembeli tak rasa beban dan dapat beli sayur yang diingini tanpa terputus bekalan,” katanya yang berniaga di pasar malam Kerteh.

Dalam pada itu, penduduk Kemasik, Mohd Bashir Basri, 45, berkata, harga bahan mentah di pasar malam yang lebih murah membolehkannya berjimat.

“Masuk tahun baru sekarang macam-macam barang dah naik harga. Harga bahan mentah pun naik sikit tapi mujurlah masih ada peniaga yang baik hati tak ambil untung banyak sangat,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.