KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri ini berhasrat untuk menambah penguat kuasa syariah sukarelawan di negeri ini bagi mengatasi masalah kekurangan penguat kuasa sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, setakat ini, bilangan penguat kuasa syariah di negeri ini kira-kira 100 orang, berbanding jumlah penduduk di Terengganu iaitu 1.7 juta orang.

"Dulu kebanyakan sukarelawan terdiri daripada imam sebagai orang yang dihormati dalam masyarakat tapi, kadang-kadang atas faktor umur, kita lihat ada yang tidak sesuai. Jadi, kita cadang untuk tambah sukarelawan. Mungkin setiap masjid kita lantik dua perempuan dan dua lelaki.

"Sebab biasanya kalau lelaki sembahyang Jumaat misalnya, susah juga kalau tiada yang jaga. Kita lihat ada keperluan untuk letak penguat kuasa Muslimat tapi ia bukan untuk pantau solat saja, jika ada keperluan lain, penguat kuasa sukarelawan ini kita akan libatkan juga," katanya.

Menurutnya, sukarelawan yang terpilih akan diberikan kursus supaya jelas bidang kuasa dan had yang boleh mereka lakukan selain mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Kita akan sediakan uniform dan latihan serta terangkan bidang kuasa mereka. Mereka akan diletakkan di bawah pelaksanaan penguatkuasaan syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Kita jangkakan pengambilan sukarelawan ini akan dimulakan pada awal tahun depan dan dibuat secara berperingkat. Jumlahnya belum lagi kita tentukan, tetapi bergantung pada masjid kariah di tempat masing-masing,” katanya.

Satiful Bahri berkata, pihaknya akan mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan supaya ia dapat menambah keberkesanan pelaksanaan syariah di negeri ini.