KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu akan bekerjasama dengan penghulu-penghulu untuk memantau sebarang penipuan ke atas pengguna.

Pengarah KPDNKK Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata penghulu yang dilantik akan menjadi mata dan telinga KPDNKK malah jika terdapat sebarang penipuan, mereka boleh memberi nasihat dan panduan kepada peniaga.

"Sekiranya berlaku penyelewengan yang berleluasa atau peniaga tidak mengendahkan nasihat, penghulu boleh memaklumkan kepada KPDNKK negeri, seterusnya akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membawa penghulu yang terlibat dengan mesyuarat penyelarasan bersama KPDNKK melihat sendiri kaedah penentusahan penjualan minyak di Stesen Minyak Petron, Padang Hiliran yang dikendalikan syarikat Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata tiada sebarang penipuan penjualan minyak dikesan berlaku di stesen-stesen minyak di negeri ini.

Katanya, penipuan tidak sepatutnya berlaku kerana setiap 12 bulan KPDNKK akan membuat penentusahan dengan Metrology Corporation Malaysia Sdn Bhd yang menggunakan alat menyukat minyak yang diluluskan Sirim.

“KPDNKK akan memberi sijil kepada setiap stesen minyak yang telah dibuat penentusahan dan sistem itu memang yang teratur dan boleh dipercayai tidak akan berlaku penipuan,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :