KUALA TERENGGANU- Penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang juga dikenali sebagai pembinaan pasang siap masih kurang dilaksanakan di negeri pantai timur.

Pengurus Kanan Pusat IBS Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Mohd Idrus Din berkata, ia ekoran kekurangan pengeluar IBS di wilayah itu, menyebabkan mereka terpaksa mengambil bekalan dari negeri Pantai Barat, seterusnya terpaksa menanggung kos tambahan.

Ekoran itu, kerajaan menubuhkan CIDB myIBS bagi membantu pihak yang ingin menjadi pengeluar dengan memberikan khidmat nasihat dan latihan bagi membolehkan mereka menjadi pengeluar IBS.

“Di Terengganu misalnya, ada projek-projek yang menggunakan IBS tetapi terpaksa mengambil komponen itu dari luar. Ada juga yang mendapat projek kerajaan, telah diwajibkan menggunakan IBS sebanyak 70 peratus, tetapi mereka masih lagi meminta pengecualian IBS dalam projek-projek mereka disebabkan tidak ada bekalan.

“Sebab itu kerajaan ambil inisiatif dengan wujudkan anak syarikat dalam membantu mewujudkan pengeluar-pengeluar IBS negeri.

"Di Terengganu, CIDB sudah berbincang dengan pihak PMINT dan telah menandatangani memorandum persefahaman pada 19 September lalu, yang mana kita akan melantik PMINT menjadi pengeluar dan pemasang IBS, dengan bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur bermula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Kontraktor IBS yang diadakan di Terengganu Equestrian Resort di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah CIDB Terengganu, Annis Othman; Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Timur, Maliki Endut dan Ketua Pegawai Eksekutif MyIBS CIDB, Rozaiman Hassan.

IBS adalah sistem atau kaedah pembinaan bangunan, yang mana komponennya dihasilkan dalam keadaan terkawal di kilang atau tapak bina, diangkut dan dipasang dalam kerja pembinaan dengan penggunaan pekerja yang minimum di tapak dan dibahagikan kepada lima kategori iaitu konkrit pratuang (precast concrete), blok, kerangka keluli, kerangka kayu dan acuan berulang (reusable formworks).

Kelebihan IBS ialah kualitinya yang lebih bagus, sudah melalui QAC sebelum dihantar ke tapak bina mengikut spesifikasi pengeluaran, penjimatan masa, tapak bina yang lebih bersih dan pekerja lebih selamat kerana ia hanya melibatkan pemasangan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hanya lapan pembekal IBS ada di Terengganu iaitu di Kuala Terengganu (4), Dungun (2), Hulu Terengganu (1) dan Kemaman (1); tujuh di Kelantan iaitu di Kota Bharu, Tumpat dan Gua Musang serta tujuh pembekal di Pahang iaitu di Kuantan, Triang dan Mentakab.

“Sehingga kini, terdapat 260 pengeluar IBS di negara ini dan CIDB menyasarkan terdapat 300 pengeluar IBS menjelang 2020,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :