BESUT -  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggalakkan pengusaha, pengendali resort dan penduduk kampung di kawasan pulau peranginan di negara ini mendaftar sebagai sukarelawan atas talian atau lebih dikenali Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dalam usaha memerangi jenayah di kawasan tersebut.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli  Abdullah berkata, sistem dilancarkan Mac lalu itu oleh PDRM bertujuan mendapatkan kerjasama orang ramai dalam  usaha memerangi jenayah dalam negara.

Menurutnya, sistem itu yang merupakan aplikasi mudah alih melalui peranti telefon pintar membolehkan masyarakat boleh menyalurkan maklumat kejadian  jenayah dengan segera.

“Dengan aplikasi disediakan, orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti video, gambar dan koordinat GPS lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Community  Policing  Go Green  Pasukan Polis Marin 2017 di perkampungan Pulau Perhentian, semalam.

Zulkifli berkata lagi, dengan aplikasi diharapkan akan mengatasi masalah jenayah di pulau peranginan sekaligus akan menarik lebih ramai pelancong.

Menurut beliau, setakat ini seramai 778,000 orang telah mendaftar sebagai sukarelawan  VSP di seluruh negara dan daripada jumlah itu seramai 38,000 dari negeri Terengganu.

“Melalui  VSP  ini penjenayah akan berhati -hati dan takut untuk melakukan jenayah sembarangan kerana tindakan mereka boleh dirakam dan terus disalurkan kepada pihak polis melalui sistem yang telah direka,” katanya.

Sementara itu katanya,  program Go Green Pembersihan Dasar Laut Pulau Perhentian adalah tanggungjawab  sosial diambil PPM untuk memelihara alam sekitar dan meningkatkan  kesedaran mencintai alam dengan program selam skuba membabitkan 150 penyelamat  terdiri daripada pasukan polis, agensi kerajaan lain dan orang perseorangan di kawasan terumbu karang Pulau Perhentian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SANDAKAN - Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) akan mempergiat kerjasama pintar dengan pihak berkaitan bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini.
  • KUANTAN - [VIDEO] Seramai 110 termasuk 98 pelancong yang terkandas di Pulau Tioman sejak Khamis lalu dibawa ke Kuantan menggunakan kapal KD Terenggganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
  • PULAU TIOMAN - Ekoran perkhidmatan feri ke Pulau Tioman yang dihentikan akibat laut bergelora, seramai 87 pelancong terkandas di pulau peranginan terkenal itu.
  • KOTA TINGGI - Lima wanita warga asing yang menyalahgunakan visa pelancong untuk bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan dekat Bandar Penawar disini antara yang ditahan dalam Op Noda, awal pagi tadi.
  • BANDARAYA MELAKA - Seramai 8,000 pelancong dari Wilayah Utara India dijangka membanjiri negeri ini mulai 19 Januari depan hasil usaha promosi kerajaan negeri dalam mencari pasaran baharu destinasi pelancongan antarabangsa.