KAMPUNG RAJA - Taktik seorang lelaki dipercayai pengedar dadah beroperasi di dalam hutan di Kampung Chegar Batang, Hulu Besut bertujuan mengelak dihidu pihak berkuasa tidak bertahan lama apabila akhirnya dia berjaya diberkas polis di lokasi itu, semalam.

Suspek berusia  27 tahun dari Kampung Awek itu ditahan menerusi Ops Tapis Bersepadu bersama 1,200 biji pil dipercayai dadah pil kuda kira-kira jam 5.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Besut telah membuat serbuan di sebuah bangsal dalam hutan di kampung tersebut.

Menurutnya, lokasi sulit itu merupakan sarang penagih eksklusif  kerana didatangi oleh beberapa penagih yang rapat dengan suspek sahaja.

“Pasukan serbuan berjaya menahan suspek yang sedang berjalan dengan memegang satu beg hitam, namun sebaik melihat anggota polis, lelaki itu terus melarikan diri namun berjaya  diberkas.

“Pemeriksaan di dalam beg suspek didapati ada 1,200 pil kuda  dan satu paket plastik mengandungi tumbuhan kering mampat disyaki dadah ganja,” katanya.

Mohd Zamri berkata, polis telah menahan suspek tetapi saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Menurutnya, semakan mendapati tujuh rekod kesalahan dadah lampau dan dia menjalankan aktiviti mengedar dadah dipercayai sejak Disember tahun lepas.

“Siasatan awal terhadap penganggur ini mendapati dia memperolehi bekalan dadah daripada seorang lelaki di satu kawasan di Jertih dengan harga RM10,000 setongkol dan hanya modal angin,” katanya.

Mohd Zamri berkata, suspek adalah salah seorang daripada 50 orang yang ditangkap sepanjang dua hari Ops Tapis Bersepadu kali ke 4 tahun ini yang berakhir kelmarin melibatkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut.

Menurutnya, keseluruhan dadah yang dirampas hasil operasi tertumpu di kawasan Hulu Besut, Jertih dan Kampung Raja itu ialah sebanyak 1,229 biji pil kuda, heroin (3.25 gram),  ganja (4.13 gram) dan syabu seberat 10.6 gram.

“Seramai 49 suspek yang ditahan itu disiasat mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.