HULU TERENGGANU - Peneroka bakal menerima kembali pembayaran hasil seminggu sekali melalui dana pusingan RM100 juta yang akan diwujudkan Felda untuk mereka.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, tempoh pembayaran seminggu sekali itu antara fokus utama Felda bagi memastikan matlamat asal dalam mengutamakan kebajikan setiap peneroka tercapai.

“Kewujudan dana pusingan ini bertujuan melancarkan pembayaran hasil mingguan kepada peneroka sementara mereka menerima bayaran daripada kilang sawit. Dalam hal ini, tentu kita kena utamakan soal peneroka dan kebun mereka.

“Sudah pasti asas utama adalah mengenai kebun peneroka, pengurusan kebun, penanaman semula, penjagaan dan pembayaran hasil kepada peneroka. Hasil itu bergantung kepada bagaimana semua itu diuruskan, tentu kita nak yang terbaik.

“Tak guna hasil dikeluarkan kalau pembayaran ada masalah seperti bayar lambat atau sebulan sekali seumpamanya. Kita mahu kembalikan kepada asal yang mana boleh bayar seminggu sekali. Barulah bermakna hasil itu diterjemahkan kepada pendapatan peneroka.

“Bagi mencapainya, Felda akan wujudkan dana pusingan dengan anggaran diperlukan RM100 juta. Sambil kita menunggu pembayaran kilang sawit, Felda bayar dululah kepada peneroka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas ke-50 Tahun Felda Bukit Bading, malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari dan Adun Ajil, Ghazali Taib.

Tambah Shahrir, penambahbaikan sistem pembayaran hasil itu bagi menjamin kelangsungan pendapatan peneroka, sekali gus menyelesaikan segala rungutan diterima daripada golongan tersebut sebelum ini.

“Pengurusan Felda akan memulakan semula pembayaran secara mingguan secepat mungkin. Sehingga kini segala proses mengemas kini akaun peneroka dan hal-hal lain yang berkaitan hampir selesai.

“Kita perlu kemas kini akaun peneroka, berapa hutangnya, berapa pendapatan dan tunggakan untuk melancarkan semula proses pembayaran hasil secara mingguan ini. Perkara-perkara ini harus dimuktamadkan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, Felda mempunyai banyak aset di London yang boleh dicairkan dengan nilai RM2 juta.

Menurutnya, tidak salah kalau ia dicairkan untuk melaksanakan perkara bermanfaat yang lain.

“Aset hartanah ini adalah pelaburan Felda dahulu. Bila nilai meningkat, tidak salah jika kita jual. Kita cairkan semula pelaburan ini untuk perkara lain yang boleh memberi manfaat kepada peneroka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU BERNAM - Peneroka peringkat dua Felda Sungai Tengi Selatan mencatat hasil purata sebanyak 30.34 tan sehektar pada tahun lepas dengan keluasan ladang 306.61 hektar.
  • SEREMBAN - Kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan peranan orang tengah dengan membuka sebanyak mungkin pusat pengumpulan produk hasil pertanian di setiap daerah di negeri ini.
  • PASIR GUDANG - Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba, penantian seramai 377 peneroka Felda Cahaya Baru, Masai di sini menuntut baki daripada penjualan tanah mereka berjumlah RM1.4 juta seorang sejak lebih 25 tahun lalu masih menemui jalan buntu.
  • GUA MUSANG - Lebih 50 peratus peneroka Felda Chiku 6, di sini dikesan menderita penyakit kencing manis ekoran kelalaian dalam pengambilan makanan seimbang.
  • KUALA ROMPIN - Anak-anak peneroka Gugusan Felda Selendang di sini, yang bekerja menghantar buah sawit ke Kilang Sawit Selendang menggesa supaya mengutamakan penerimaan buah sawit Felda.