KUALA NERUS - Kempen Visit Beautiful Terengganu 2017 terus hangat apabila syarikat tambang murah terkemuka dunia, Air Asia Berhad memulakan penerbangan pertama terus dari Johor Bahru - Kuala Terengganu.

Penerbangan yang mengambil masa kira-kira sejam itu menyediakan penerbangan tiga kali seminggu bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, penerbangan terus bagi laluan itu dilihat mampu membuka pelbagai peluang dan kemungkinan yang bermanfaat untuk rakyat.

"Malah pemilihan Johor Bahru itu disifatkan tepat kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai turut mempunyai penerbangan terus ke Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Sibu, Miri, Jakarta dan lain-lain.

"Selain daripada usaha untuk galakkan lebih ramai kedatangan pelancong, penerbangan itu juga bertujuan untuk memudahkan rakyat Terengganu yang bekerja di Johor Bahru untuk pulang ke kampung.

"Saya difahamkan lebih 3, 000 rakyat Terengganu yang bekerja di Johor Bahru terutamanya di Pengerang dan usaha ini secara tidak langsung dapat memberi lebih kemudahan kepada mereka,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Penerbangan Pertama Air Asia Daripada Johor Bahru - Kuala Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Berhad, Aireen Omar.

Air Asia merupakab syarikat penerbangan tambang murah terkemuka dan terbesar di Asia dengan rangkaian perkhidmatan yang paling meluas dengan lebih 120 destinasi di 27 buah negara.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2001, syarikat penerbangan berkenaan telah membawa lebih 330 juta penumpang dan telah berkembang dari hanya dua pesawat kepada lebih 200 ketika ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUDAI - Johor adalah salah satu negeri yang penting kepada AirAsia terus berkembang pesat selain bakal menjadi antara hab terbesar untuk syarikat penerbangan tambang rendah itu.