SETIU - Lebih 30 pengguna jambatan di Teluk Kambing, di sini, memohon pembinaan jambatan baharu disegerakan bagi menggantikan jambatan sedia ada yang sudah usang untuk keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.

Wakil penduduk, Halimah Besar, 43, berkata, jambatan tersebut sudah terlalu uzur dan tidak selamat digunakan sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, pengguna di laluan berkenaan termasuk petani terpaksa meredah semak sebagai jalan alternatif untuk ke jalan utama sejak 2016.

“Jambatan ini sudah lama dan mungkin berusia hampir 20 tahun tetapi sebelum ini apabila rosak ada yang datang baiki.

“Tapi kali ini, sudah dua tahun jambatan ini tidak boleh guna dan tidak pula dibaiki. Kami terpaksa buat jalan sendiri untuk keluar masuk, kalau tidak macam mana nak jalankan kerja harian,” katanya yang berniaga sayur di Pasar Awam Bandar Permaisuri, di sini.

kiri - jambatan usang. kanan - Halimah Besar

Halimah berkata, jalan alternatif  itu berada di laluan tanah orang kampung dan keadaan becak ketika hujan menyebabkan ia sukar dilalui walaupun dengan kereta.

“Jangan katakan musim banjir, kalau hujan sekalipun, jalan dalam semak tu tak boleh lalu sebab licin dan berlubang kerana menjadi lopak air bertakung,” katanya.

Halimah berkata, pada musim banjir, jalan alternatif itu menjadi lebih teruk dan bimbang penduduk tidak dapat keluar masuk jika jambatan belum siap berikutan sering dilanda banjir.

Ketiadaan kemudahan jambatan turut menyukarkan petani dan penternak melihat peliharaan mereka.

Nik Wei terpaksa menggunakan laluan alternatif yang tidak rata untuk melihat peliharaannya di kampung.

Sementara itu, Nik Wei Nawi, 54, yang sering menggunakan jambatan berkenaan sebelum ini berkata, dia akan datang ke kawasan tersebut bagi melihat ternakandi kawasan terbabit.

“Saya tinggal di Kampung Buluh tetapi lembu diletakkan di kampung ini (Teluk Kambing) dan kemudahan jambatan sangat diperlukan.

“Saya harap kerajaan negeri atau pihak berwajib segera membina jambatan ini dan kalau boleh sebelum tengkujuh kerana keadaan lebih sukar pada musim hujan,” katanya.

Nik Wei menggunakan motosikal di laluan berkenaan berkata, motosikalnya cepat rosak berikutan jalan alternatif itu terlalu teruk, becak dan berlubang.

Sementara itu, Adun Permaisuri, Datuk Abd Halim Jusoh ketika dihubungi berkata, beliau sudah maklum mengenai masalah itu dan berharap kerajaan negeri membina jambatan baharu untuk kegunaan penduduk terlibat.