KEMAMAN - Trauma dengan kerugian puluhan ribu ringgit yang terpaksa ditanggung akibat banjir, penduduk di kawasan rendah di daerah ini melakukan persiapan awal bagi menghadapi bencana itu.

Majoriti penduduk termasuk 15 keluarga di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru Kanan Kemasik, di sini, sudah mengalihkan harta benda mereka ke atas rak, para atau meja sejak minggu lalu.

Tindakan awal berkenaan turut melegakan penduduk di kawasan tersebut apabila rumah mereka nyaris ditenggelami air pada Sabtu lalu selepas Sungai Tumpat yang terletak di belakang penempatan itu melimpah ekoran hujan lebat berlarutan sejak seminggu sebelum itu.

Maisarah Abdul Wahab, 51, yang juga pesakit kanser payudara berkata, pengalaman air naik paras pinggang di dalam rumah 2 tahun lalu menyebabkannya meletakkan barang berharga ke aras tinggi.

"Dua tahun lepas air dalam rumah paras pinggang, habis semua perabot, tilam dan barang elektrik seperti mesin basuh dan peti ais rosak.

"Barang-barang tu semua sekarang mahal jadi memang dah banyak mak cik rugi, dah puluh-puluh ribu ringgit kalau dikira barang rosak sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Abdul Rashid membetulkan kedudukan mesin basuh yang diletakkan atas rak kayu di dalam rumahnya. ( Gambar Kecil ) Abdul Rashid.

Risau air naik mengejut

Rumah itu dihuni Maisarah bersama 5 ahli keluarganya iaitu adik, anak, menantu dan dua cucu sejak hampir tiga tahun lalu.

Ekoran kedudukan penempatan itu di kawasan rendah dan di belakang sungai, setiap kali musim tengkujuh Maisarah dan penduduk lain terpaksa berdepan banjir sebanyak antara empat hingga lima kali.

"Memang tiap-tiap kali datang musim tengkujuh, empat hingga lima kali mak cik dan jiran-jiran terpaksa pindah ke pusat pemindahan banjir.

"Apa yang mampu kami lakukan adalah buat persiapan awal untuk kurangkan kerugian sebab kalau barang-barang ditenggelami air terutama tilam dan barang elektrik, ia memang akan rosak dan tak tahan lama," katanya.

Katanya, walaupun sudah lakukan persiapan awal namun musim hujan sekarang turut membuatkan hatinya turut risau.

Abdul Rashid, Maisarah dan Minah meninjau keadaan air di belakang rumah mereka yang naik akibat hujan beterusan. (Gambar Kecil ) Minah

"Risau kalau air naik mengejut. Kalau hujan berlarutan memang kami tak lena tidur malam. Hati berdebar-debar," katanya.

Jelasnya, dalam kejadian banjir kilat di kawasan itu pada Sabtu lalu, limpahan air sungai memasuki bahagian bilik air rumahnya pada jam 10 pagi sebelum air kembali surut kemudiannya.

Sehubungan itu, Maisarah berharap kerajaan negeri dapat mengatasi masalah limpahan air sungai di kawasan itu bagi mengelak kekerapan banjir di kawasan berkenaan.

"Longkang di kawasan ini dah digali dua kali sebelum ini tapi lepas gali longkang air lagi laju melimpah. Perkara ini perlu dikaji agar masalah yang kami hadapi tak berlarutan," katanya.

Simpan barang di tempat tinggi

Sementara itu, Minah Mat Amin, 70, pula berkata, musibah banjir tahun-tahun sebelum ini mengakibatkan almari, kipas, katil dan tilam dalam rumahnya terpaksa dibuang.

"Tilam habis basah, jemur pun tak jadi apa dah tak boleh guna. Memang luluh hati tengok barang-barang rosak saban tahun.

"Sebab tu tahun ni mak cik buat persiapan lebih awal, semua barang-barang sensetuf dengan air, mak cik letak tempat tinggi siap-siap," katanya.

Minah merupakan penghuni terawal di kawasan PPRT itu, iaitu pada tujuh tahun lalu selepas rumah miliknya musnah dalam satu kebakaran.

Warga emas berkenaan berteduh di rumah tersebut bersama tiga cucu dan cicitnya.

Maisarah menunjukkan longkang kawaaan perumahan mereka yang tersumbat dengan tanah mengakibatkan aliran air tersekat.

Dalam pada itu, Abdul Rashid Ibrahim, 46, yang juga nelayan memberitahu, dia membuat rak kayu di dalam rumahnya sejak sebulan lalu untuk menyimpan barang-barang elektrik.

"Sebelum ini saya sekeluarga duduk di kawasan lain dan bila berpindah ke sini memang sudah tahu kawasan ini sering dilanda banjir.

"Jadi sebagai persiapan awal, semua barang-barang diletakkan di aras yang lebih tinggi dari lantai, biar tak kena air," katanya yang tinggal di rumah itu bersama isteri dan anak tunggal mereka berusia 13 tahun.

Katanya, sistem perparitan di kawasan itu perlu ditambah baik bagi memastikan masalah banjir di kawasan itu dapat diatasi.

"Saya cuma nelayan dan memang tak mampu nak beli perabot dan barang kelengkapan rumah kalau rosak kena banjir.

"Sebab itu saya buat persiapan awal tambah-tambah lagi sekarang saya pun tak dapat turun ke laut," katanya.