KUALA BESUT- Lebih 40 penduduk membabitkan 10 rumah di Kampung Pangkalan Atap, di sini lega apabila pihak terbabit mengambil tindakan mengukuhkan tambatan batu bagi menghalang kejadian hakisan pantai merebak dan ombak besar ke rumah mereka.

Salah seorang penduduk, Nurul Hafizah Zulkifli, 29, berkata, tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang benteng menggunakan bongkah batu di belakang rumahnya dapat mengurangkan risiko rumah berdepan kerosakan teruk.

Menurutnya, sebelum dibina benteng tersebut ombak sering menghentam dinding dapur rumahnya ketika air laut pasang besar menyebabkan bahagian hakisan di bawah rumah dapurnya.

“Sekiranya tidak ada benteng sudah tentu menyebabkan rumah saya dan beberapa rumah lain berdekatan yang sebaris dengan rumah sekarang sudah ditelan laut sejak beberapa bulan lalu.

“Jarak rumah saya dengan air laut sekarang hanya kira-kira 20 meter itu pun kerana dihalang oleh benteng berbanding kira-kira 200 meter pada tahun lalu,” katanya yang tinggal di rumah Mesra Rakyat.

Nurul Hafizah berkata, masalah hakisan berlaku berhampiran kawasan rumahnya sejak akhir tahun lalu selepas sebulan dia tinggal di rumah tersebut .

Menurutnya, hari demi hari hakisan semakin teruk memaksa  jabatan berkaitan memasang benteng batu 20 meter di belakang dapur rumah.

“Ketika baru tinggal di situ dulu, kami sekeluarga memang ketakutan menyebabkan kami terpaksa bermalam di rumah saudara terdekat kerana tidak pernah mengalami kejadian rumah dihempas ombak pada waktu malam.

“Tapi dalam kejadian kali ini,  kami tidak berpindah, namun kami masih bimbang dan perlu berhati-hati terutama setiap kali ribut dan air pasang besar yang menyebabkan ombak besar lalu air laut melimpah sehingga ke atas jalan di depan rumah saya,” kata suri rumah itu lagi.

Terpaksa letak ratusan guni elak hakisan tanah

Katanya, hakisan telah menyebabkan sebuah rumah Mesra Rakyat lain yang terletak beberapa meter dari rumahnya telah retak akibat berlaku hakisan pasir di bahagian bawah dapur rumah.

Menurutnya, rumah tersebut tidak dapat diduduki pemiliknya menyebabkan dia ditinggalkan kosong sedemikian kerana tidak selamat didiami lagi.

“Sebelum ini kami sekeluarga terpaksa meletakkan ratusan guni pasir di tepi bahagian dapur rumah untuk mengelak berlaku hakisan tanah di bahagian bawah rumah.

“Walaupun pihak tersebut telah mengambil langkah mengurangkan hakisan tetapi  pada waktu malam kami tidak tidur lena dan perlu sentiasa berhati-hati kerana bimbang ombak besar membadai rumah  sekali gus berlaku hakisan teruk yang boleh meruntuhkan rumah,” kata isteri kepada seorang nelayan, Abd Razak Mohd Zaid, 27.

Dia berharap agar projek Benteng Pemecah Ombak Kuala Besut akan siap dengan segera mengikut jadual ditetapkan untuk mengelak tapak rumahnya dan penduduk lain lenyap ditelan laut sekiranya masalah ini berlanjutan.

Langkah segera JPS kurangkan hakisan

Sementara itu Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, beliau sentiasa memantau keadaan hakisan dan ombak Laut China Selatan di situ agar ia tidak menjejaskan penduduk.

Menurutnya, JPS telah meluluskan peruntukan untuk menaikkan ketinggian benteng batu kepada satu meter lagi berbanding ketinggian sekarang untuk menghalang ombak melepas benteng itu.

“Masalah hakisan ini di kawasan ini berlaku sejak akhir tahun lepas dan sebelum itu ombak besar dan hakisan sering berlaku di kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pangkalan Atap yang terletak kira-kira 500 meter dari sini,” katanya.

Tengku Zaihan berharap langkah segera yang diambil oleh JPS dapat mengurangkan kejadian hakisan dan ombak besar yang mengancam penduduk di situ.

Menurutnya, isu hakisan di sini akan selesai apabila siapnya Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut  nanti kerana pantai Kampung Pengkalan Atap akan berada di dalam kawasan benteng pemecah ombak tersebut yang terlindung daripada hakisan dan ombak besar.