KUALA TERENGGANU- Tidak tahan dengan babi yang sering berkeliaran di kawasan rumah, penduduk Kampung Pasir Panjang, di sini, nekad membersihkan ‘sarang’nya bagi mengelak kejadian sama berulang.

Difahamkan, masalah tersebut berlaku sejak beberapa tahun lalu dan penduduk bimbang bilangannya akan terus bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Panjang, Muda Ismail berkata, walaupun tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, namun mereka bimbang haiwan berkenaan boleh bertindak agresif.

“Setakat ini tidak ada kes membabitkan babi ini tapi haiwan ni biasa berkeliaran di kawasan kampung dan laman rumah, mungkin mencari makanan.

“Kanak-kanak kampung ini biasanya bermain di laman rumah terutamanya sebelah petang. Babi ini pula ada taring, sangat bahaya jika ia menyondol dan bertindak agresif.

“Jadi bagi mengelakkan kejadian sebegini berlaku, kita ambil keputusan untuk hapuskan ‘sarang’ babi ini bagi mengelakkan ia terus membiak,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, mereka turut menggunakan jengkaut bagi membersihkan ‘sarang’ babi itu dan kira-kira 20 orang terlibat dalam program gotong-royong berkenaan.

Muda berkata, kawasan semak yang menjadi ‘sarang’ babi itu turut menjadi habitat haiwan berbisa seperti ular.

“Alhamdulillah, program kali ini berjaya, malah turut mendapat sambutan daripada pemuda kampung. Sebelum adakan program ini kita ada maklumkan kepada penyelaras Dun Ladang dan penghulu dan mereka juga memberikan kerjasama.

“Kita akan adakan lagi gotong-royong sebegini bagi memastikan kampung ini bebas daripada masalah yang sama,” katanya.