KUALA TERENGGANU - Pelancaran Tukun Rig to Reef (R2R) di Pulau Kapas esok dijangka memberi impak positif dalam meningkatkan pendapatan kira-kira 2,000 nelayan kecil khusus di daerah Marang selain melibatkan sebahagian di Kuala Terengganu.

Adun Pengkalan Berangan, A Latiff Awang berkata, pelancaran R2R antara Jabatan Perikanan Malaysia dan Petronas adalah yang pertama seumpamanya di Semenanjung Malaysia dilihat mampu membantu meningkatkan pengembangan hidupan marin di pesisir pantai Marang.

Menurutnya, projek melabuhkan tukun termasuk tukun konkrit sebelum ini juga dapat menghalang sebarang aktiviti pencerobohan nelayan laut dalam ke kawasan perairan tersebut berikutan kewujudan tukun boleh merosakkan peralatan menangkap ikan milik nelayan laut dalam.

“Ini menggambarkan keprihatinan pihak kerajaan BN untuk memberi kesejahteraan khususnya kepada nelayan-nelayan ini supaya mereka dapat menjana ekonomi yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Di atas keprihatinan kerajaan, saya sebagai pemimpin tempatan ingin mengucapkan terima kasih sebab sebahagian besar daripada rakyat Marang, penduduk Marang berada di pesisir pantai yang bermula dari Jambu Bongkok sehingga ke Rusila,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pelancaran tersebut akan dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga presiden Pas.

Mengulas kehadiran presiden Pas itu, A Latiff yang juga Ketua Umno Bahagian Marang berkata, ia bukanlah program pertama dihadiri Abdul Hadi, malah beliau sebelum ini turut hadir dalam program Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA) 2016 serta sepentas bersama kerajaan dalam isu Selamatkan Rohingya tahun lalu.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan Abdul Hadi turut serta dalam program tersebut dan melihat ia boleh membangkitkan suasana positif kepada rakyat Marang sendiri apabila presiden parti bersedia bersama-sama menyokong kerajaan dalam program yang memberi manfaat kepada rakyat.

Tegasnya, Abdul Hadi juga berjaya menonjolkan satu gaya politik matang apabila pembangkang bukan hanya membangkang semata-mata, malah boleh bersama-sama kerajaan dalam program tertentu dan percaya ia boleh mencetuskan dimensi baharu kepada politik tanah air.

“Ini menggambarkan bahawa pengiktirafan diberi kepada pihak kerajaan kerana di Marang, sendiri kita tahu sebahagian kawasan ramai juga penyokong Datuk Seri (Abdul Hadi). Kalau Datuk Seri turun, saya rasa ini boleh mewujudkan suasana yang agak baik di Marang itu sendiri,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA ROMPIN - Penduduk di sekitar Bandar Kuala Rompin, di sini, gempar selepas kisah seorang nelayan berjaya menaikkan seekor ikan pari dengan berat sekitar 250 kilogram (kg) pada Jumaat lalu, menjadi tular.
  • PONTIAN - Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan mencadangkan agar kerajaan menetapkan harga peralatan memancing dan menangkap ikan yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada peruncit dan peniaga.