KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bakal melunaskan satu lagi manifesto Pas iaitu memberi Pencen Rakyat sebanyak RM50 sebulan kepada warga emas yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pemberian itu akan dibayar pada tahun hadapan bermula Januari 2019.

Menurutnya, ia akan diberi kepada warga emas yang tidak pernah mendapat sebarang bentuk bantuan daripada agensi lain dan juga bukan seorang pesara kerajaan.

"Pencen Rakyat RM50 sebulan ini untuk warga emas yang tidak pernah mendapat bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat dan mereka sebelum ini bekerja sendiri.

"Kerajaan akan bayar mulai tahun depan sebanyak RM50 sebulan tetapi akan diagihkan dua atau tiga kali setahun (jumlah terkumpul mengikut bulan belum dibayar).

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Penyampaian Cek Saguhati Perkahwinan Ibu/Bapa Tunggal dan Pinjaman Modal Program Jaya Diri, di Pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, Mohd Shafaruddin Mustaffa dan Timbalannya, Ramlah Idris.

Hanafiah berkata, jumlah sebenar penerima layak belum dipastikan kerana ia sedang diproses yang dilaksanakan di Pusat Khidmat Dun seluruh negeri melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).