JERTIH - Penantian Ruhainy @ Norainy Mohamad selama 20 tahun untuk miliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila menerima Rumah Komuniti yang dihadiahkan  Ahli Parlimen Besut di Kampung Mak Sara dekat sini.

Ruhainy, 65, yang merupakan ibu tunggal tiga anak berkata, dia tidak dapat menggambarkan perasaannya apabila memperoleh sebuah rumah bernilai RM20,000 yang diberikan secara percuma kepadanya.

Menurutnya, setelah 20 tahun memohon dan menunggu untuk mendapatkan rumah sendiri akhirnya tuhan menunaikan hajatnya untuk tinggal di rumah sendiri sebelum ‘menutup mata’ buat selama-lamanya.

“Saya dapat berita baik  dapat rumah ini pada bulan lepas dan kerja membina rumah ini hanya memakan masa kurang dari sebulan.

“Walaupun lambat dapat rumah sendiri tetapi makcik tetap bersyukur kerana akhirnya makcik dapat juga malah secara percuma.

“Makcik mohon  bantuan rumah selepas suami makcik meninggal dunia 20 tahun lalu dan dalam tempoh itu makcik berpindah randah empat kali  menumpang rumah saudara mara  termasuk di Kuala Besut,” katanya yang ditemui selepas menerima Rumah Komuniti ke-146 yang diserahkan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ruhainy berkata lagi, selepas ini dia tidak perlu lagi berpindah randah kerana kediaman tersebut sudah amat selesa buat dirinya yang kini tinggal berdua bersama  seorang daripada dua anaknya, Nik Elias Ariffin, 30, yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, meskipun Rumah Komuniti  tidak besar tetapi ia sudah amat selesa buat dia sekeluarga  dan memudahkan anak-anaknya pulang ketika hari raya dan sebagainya.

“Kesempatan ini saya ingin mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Idris, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Sementara itu menurut Idris, pembinaan Rumah Komuniti di Parlimen Besut bukan janji manifesto pilihan raya tetapi ia dilaksanakan kerana komitmen dan sumbangan kerajaan untuk membantu golongan miskin mengikut keperluan semasa.

Setakat ini, sebanyak 147 Rumah Komuniti berharga RM20,000 sebuah telah dibina dan diberi secara percuma kepada golongan miskin yang tidak mempunyai tempat kediaman sejak awal tahun lalu di Parlimen Besut.

“Sebanyak 53 rumah lagi dalam proses pemilihan bagi lengkapkan 200 rumah melalui peruntukan Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu lagi, seramai 1,200 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berpeluang mengikuti pengajian dalam bidang teknikal di Politeknik Besut apabila ia beroperasi pada 2020.

Menurutnya, Politeknik Besut bernilai RM180 juta itu bakal dibina bersebelahan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan dekat Bukit Keluang tidak lama lagi.

“Majlis pecah tanah politeknik itu dijadual disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 6 Oktober ini yang dijangka  dihadiri 30,000 penduduk daerah Besut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JASIN - Seorang warga emas maut ketika menunggang basikal di Kilometer 30 Selandar-Kesang di sini semalam.
  • SHAH ALAM - Satu pelan khusus kepada warga emas perlu dirangka menjelang ‘negara tua’ tahun 2030.
  • IPOH - Orang ramai terutamanya warga emas perlu menjauhi mana-mana individu tidak dikenali bagi mengelak menjadi mangsa pukau atau terpedaya dengan helah hingga mengakibatkan kerugian harta benda.
  • LEGEH - Seorang warga emas di sini hanya bergantung kepada ihsan anak-anak untuk meneruskan kehidupan sehariannya setelah tidak lagi berupaya untuk melakukan sebarang pekerjaan.
  • KOTA BHARU - [VIDEO] Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) menyampaikan sumbangan RM 2,000 kepada pasangan emas yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Pok Mek Panji di sini semalam.